Guna teknologi moden di ladang lembu wagyu

- Advertisement -

KOTA BHARU: Penggunaan kaedah berasaskan teknologi moden, kecekapan operasi, dan amalan mesra haiwan menjadi komponen utama dalam penternakan lembu wagyu di Seribong Limbat di sini.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, ladang terbabit bakal dijadikan rujukan pembangunan sektor tersebut.

Menurutnya ladang diterajui agensi swasta, Kelfarm merupakan projek di bawah program Pengukuhan Keterjaminan Makanan 2024 Mengoptimumkan Penggunaan Tanah antara Negeri dan Persekutuan.

“Di sini dia menggunakan cara penternakan sistematik dan tertutup, automatik sepenuhnya, kadang sebesar ini boleh memuatkan 150 ekor lembu, setakat ini hampir 90 ekor sudah ada.

“Projek ini merupakan gabungan banyak pihak termasuk Persekutuan negeri dan swasta. Terima kasih Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan atas inisiatif disediakan,” katanya.

Terdahulu beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja bagi meninjau perkembangan semasa projek pembangunan Pusat Ternakan Lembu Wagyu Kelantan (KELGYU), di sini semalam.

Turut hadir dalam lawatan tersebut iaitu Timbalan Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri, Shahrin Abdullah dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Wan Zulfadhli Syahman Wan Yusof.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising itu berkata, lawatan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap pembangunan industri mendokong keterjaminan makanan negara.

“Saya lihat permintaan daging wagyu semakin meningkat bukan sahaja kalangan restoran mewah, malah pengguna tempatan kini mula mencari alternatif daging tempatan berkualiti tinggi.

“Justeru, saya berhasrat untuk menjadikan lembu wagyu KELGYU ini sebagai peneraju utama dalam pembangunan produk daging wagyu tempatan, khususnya di Kelantan,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

- Advertisement -