
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali mengkritik keras pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut beliau yang juga seorang pengamal undang-undang, pelantikan semula itu mencerminkan hipokrasi dalam pentadbiran Madani pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Rafique, pelantikan semula Azam Baki pada 9 Mei 2025 dilakukan mengikut Seksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM (Akta 694), iaitu atas nasihat Perdana Menteri.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut bercanggah dengan pendirian pimpinan PKR sendiri, termasuk Dato’ Serii Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar yang sebelum ini lantang mengkritik Azam ketika kempen ‘HIRUK dan Temu Rakyat Akar Umbi’.
“Jangan anggap rakyat semua seperti akar umbi PKR. Rakyat melihat bagaimana SPRM diperguna sebagai aparat terhadap lawan kerajaan. Dahulu mereka berkempen dengan slogan ‘Tangkap Azam Baki’, kini ramai antara mereka berada dalam Kabinet Madani,” bidasnya.
Beliau turut menyindir bahawa mereka yang kini berdiam diri sepatutnya meletakkan jawatan atas prinsip tanggungjawab bersama (collective responsibility).
Rafique juga menyentuh isu pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR yang diumumkan pada 9 Mei lalu, melibatkan Rafizi dan Nurul Izzah, sementara Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak bertanding.
Rafique menyifatkan pertandingan tersebut tidak ubah seperti hiburan dalam empayar Rom bagi mengalih perhatian rakyat.
“Anwar Ibrahim pernah mengatakan ini zaman edan. Ya, Madani adalah zaman edan. Zaman parti kelentong rakyat,” tegas Rafique.
Beliau turut menggesa agar Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Perdana Menteri dan ibu kepada calon Timbalan Presiden PKR agar campur tangan dan menasihati agar Azam Baki tidak dilantik semula. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











