
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff mempersoalkan sikap membisu pemimpin DAP terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Menurutnya, walaupun beliau pernah menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah atas dasar kepentingan Perikatan Nasional (PN), terdapat persoalan besar berhubung peranan DAP dalam isu tersebut, yang disifatkan oleh sesetengah pihak sebagai amalan nepotisme.
“Dalam kekalutan pemilihan PKR, sedar tak ada satu pihak yang langsung tak bersuara? Itulah DAP. PKR digelar sebagai ‘Parti Anak Beranak’ dan Nurul Izzah digelar ‘Puteri Nepotisme’.
“Masa ni DAP langsung tak bersuara. Sedangkan DAP antara pihak yang kuat melawan nepotisme sehinggakan pernah satu ketika anak mendiang Karpal Singh, Ram Karpal meletakkan jawatan Timbalan Menteri apabila abangya, Gobind Singh dilantik sebagai Menteri.
“Anthony Loke masa tu kata tindakan Ram Karpal tu menunjukkan dedikasi DAP dalam mencegah nepotisme dalam parti. Hebat bukan? Tapi kenapa bila Nurul Izzah nak bertanding jawatan Timbalan Presiden ketika ayahnya adalah Presiden PKR, DAP tak berkata apa-apa?” soalnya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, situasi itu juga akan mengakibatkan PKR berubah daripada ‘Parti Anak Beranak’ kepada ‘Kerajaan Anak Beranak’, justeru wajib untuk DAP supaya menyuarakan bantahan mereka.
“Nanti ada walanon kata ‘itu hal dalaman parti PKR, buat apa DAP nak sibuk’. Benda ni melibatkan perjalanan parti utama dalam Pakatan Harapan dan bakal merubah kedudukan Kerajaan Madani. Dah tentu Nurul Izzah akan dilantik jadi Menteri Kanan selepas ni.
“Tapi kan aku yakinlah senyap DAP ni mesti ada makna. Mereka dah tentu bersetuju dengan pertembungan ini. Apa faedah kepada mereka?” ujarnya.
Nurul Islam turut melahirkan kebimbangan sekiranya pengaruh PKR merosot akibat perpecahan dalaman, keadaan ini akan memberikan kelebihan kepada DAP yang mempunyai sokongan kukuh dalam kalangan pengundi Cina.
“Kalau PKR pula berpecah dan berantakan, maka pengaruh PKR dalam Pakatan Harapan boleh semakin dikurangkan. DAP? Kekal kuat dengan sokongan pengundi Cina yang solid.
“Parti-parti berasaskan Melayu yang lain, semakin kuat kena bergantung dengan DAP. Dia boleh jadi ‘king maker’ dan ‘decision maker’, katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2025











