MBI International: PAS Pulau Pinang tuntut siasatan telus

Juga kesan terhadap projek LRT

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: PAS Pulau Pinang menggesa pihak berkuasa agar meneruskan siasatan secara menyeluruh dan bebas terhadap skandal MBI International yang menyaksikan penahanan terbaharu tokoh berprofil tinggi, Tan Sri Datuk Alex Ooi.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan tegas ke atas suspek utama skandal kewangan berkenaan.

“Ini adalah satu langkah penting dalam usaha kita memerangi rasuah dan jenayah kewangan,” ujarnya.

Namun, beliau turut membangkitkan beberapa persoalan yang membelenggu rakyat berhubung kes ini.

“Apakah masih terdapat tokoh berprofil tinggi lain yang terlibat dalam skim Ponzi MBI yang dikatakan telah beroperasi sejak 2012? Adakah kerajaan dapat menjamin ketelusan dan kebebasan proses siasatan dan perbicaraan tanpa sebarang campur tangan politik?

“Apakah kesan kes ini terhadap projek besar negeri seperti LRT Pulau Pinang memandangkan Tan Sri Alex Ooi ialah Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group – syarikat yang terlibat dalam Konsortium SRS?” soalnya.

PAS Pulau Pinang tegasnya, akan terus mengikuti rapat perkembangan kes ini dan menyeru agar tiada pihak yang terlepas daripada tindakan undang-undang.

    “Jika bersalah, hukumlah mereka dengan setimpal agar mesej jelas dihantar – jenayah seperti ini tidak boleh dikompromi,” tegas Ustaz Fawwaz.

    Beliau juga menyeru rakyat untuk terus menuntut ketelusan dan integriti dalam semua aspek pentadbiran negara.

    Terdahulu, media melaporkan penahanan Tan Sri Datuk Alex Ooi, Pengerusi Ideal Property Group, oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan terhadap skim pelaburan haram MBI International.

    Kes itu dianggarkan bernilai RM3.5 bilion. Penahanan ini merupakan sebahagian daripada operasi “Op Northern Star” yang dilancarkan oleh pihak polis. – HARAKAHDAILY 14/5/2025

    - Advertisement -