
HAMAS telah membebaskan Edan Alexander, tebusan terakhir warga Amerika Syarikat (AS) yang masih hidup di Gaza pada petang Isnin (12 Mei 2025) selepas pihak perantara membuat perjanjian antara kumpulan pejuang itu dan AS yang dipercayai bertujuan untuk memintas langkah Israel dengan negara sekutunya itu berhubung isu pembebasan 59 orang baki tebusan.
Pembebasan Alexander ini digambarkan sebagai percubaan HAMAS mendapatkan sokongan AS bagi tujuan perjanjian yang lebih luas untuk menamatkan perang di Gaza. Alexander yang berusia 21 tahun termasuk kira-kira 250 orang yang ditangkap di pos tentera Israel dan dibawa ke Gaza semasa serangan HAMAS ke atas Israel pada 7 Oktober 2023, peristiwa yang mencetuskan perang di Gaza.
Dia dibesarkan di New Jersey dan berpindah ke Israel selepas sekolah menengah kemudian mendapat kewarganegaraan Israel lalu berkhidmat dalam ketenteraan. Tidak seperti pembebasan tebusan sebelum ini, Alexander dibebaskan tanpa gencatan senjata yang diumumkan secara rasmi antara Israel dan HAMAS. Ini menunjukkan kegagalan usaha mendapatkan gencatan senjata yang lebih luas antara kedua-dua pihak.
Israel pula mahukan hak untuk meneruskan perang selepas sebarang gencatan senjata yang membawa kepada kebuntuan dalam rundingan.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata dalam satu kenyataan pada hari Isnin bahawa pembebasan Alexander menunjukkan bahawa tindakannya menekan HAMAS telah membuahkan hasil.
Namun para pengkritik berpendapat pembebasan Alexander sebaliknya menyerlahkan kegagalan pendekatan sedemikian, kerana dia dibebaskan kerana tekanan AS dan bukannya tindakan Israel.
Semakin ramai warga Israel menyokong usaha diteruskan rundingan dan perjanjian untuk membebaskan semua tebusan dan menamatkan perang. Netanyahu mengumumkan pada hari Isnin bahawa dia akan menghantar delegasi untuk menyertai rundingan bagi gencatan senjata sementara.
Walaupun banyak pihak di Israel telah mendesak Netanyahu untuk mencapai perjanjian bagi gencatan senjata secara kekal dan pembebasan semua tebusan yang masih ditahan di Gaza, Netanyahu masih menghadapi tekanan daripada golongan yang berkeras dalam kabinetnya untuk tidak menamatkan perang.
Pada hari yang sama, pihak HAMAS berkata bahawa pembebasan Alexander sebagai tanda muhibah kepada Presiden Donald Trump.
Menurut seorang pemimpin HAMAS di Gaza, Khalil al-Hayyah mengatakan kumpulan pejuang itu bersedia untuk segera memulakan rundingan intensif bagi gencatan senjata jangka panjang termasuk menamatkan perang serta pertukaran tahanan Palestin dan tebusan Israel yang masih tinggal di Gaza.
Israel hanya menghentikan operasi ketenteraan di Gaza untuk memudahkan pembebasan Edan Alexander, namun Israel tetap terus bersiap sedia untuk mempergiatkan operasi ketenteraannya di Gaza.
Pada minggu lalu, Netanyahu mengumumkan bahawa Israel merancang untuk menakluki Gaza secara menyeluruh dalam operasi ketenteraan yang intensif. Pegawai Israel berkata bahawa peningkatan dalam tindakan ketenteraan tidak akan bermula sehingga Trump menamatkan lawatannya ke Timur Tengah.
Israel sepanjang 19 bulan lalu telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza dengan bantuan kewangan dan senjata AS. Angka kematian rasmi Palestin mencecah hampir 53,000 dan angka ini masih lagi meningkat.
IMRAN AL-MALIZI – HARAKAHDAILY 13/5/2025











