
ALOR SETAR: Rakyat perlu diberi keyakinan bahawa perjalanan sistem keadilan negara masih yang terbaik, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundur, Mardhiyyah Johari.
Menurut beliau, terdapat dua kes di negara kini yang melibatkan perjalanan proses keadilan dan undangan, di mana perkembangannya agak merisaukan.
“Saya bukan nak salahkan badan penguatkuasa undang-undang sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
“Tetapi jawapan kedua-dua pihak ini dilihat lebih kepada defensif sedangkan jawapan yang lebih meyakinkan perlu diberikan supaya rakyat negara ini terus yakin dengan perjalanan proses keadilan di negara kita,” ujarnya.
Beliau yang juga seorang pengamal undang-undang berkata demikian mengulas dua kes terkini di Malaysia membabitkan kehilangan Pamela Ling Yueh dan bekas pemain bola sepak yang disimbah asid setahun lalu, Faisal Halim.
“Pamela Ling Yueh ini hilang semasa dalam perjalanan ke SPRM Putrajaya untuk bagi keterangan. Beliau hilang pada 9 April dan dua hari sebelum kejadian iaitu pada 7 April, beliau ada failkan semakan kehakiman untuk mencabar tindakan dan layanan SPRM ke atas dirinya.
“Kedua kes pemain bola sepak, Faisal Halim yang disimbah asid di pusat beli-belah pada 5 mei 2024 lalu dan kes di klasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA) atau tiada tindakan lanjut,” tambah beliau lagi
Justeru kata Mardhiyyah, sekiranya jawapan pihak berkuasa terhadap kes ini lebih kepada defensif, ia tidak dapat meyakinkan rakyat kepada proses keadilan di negara ini.
Beliau bimbang, keyakinan serta kepercayaan rakyat terhadap badan penguatkuasa undang-undang negara, semakin terhakis.
“Tidak mustahil, rakyat letak undang-undang di tangan sendiri, ambil tindakan sendiri. Inilah yang kita tak nak. Jadi saya harapkan, akan ada satu penyelesaian yang lebih baik daripada kedua-dua badan penguatkuasa undang-undang berkenaan kes ini,” katanya lagi.
Terdahulu, polis melaporkan, pihaknya tidak menolak kemungkinan kes penculikan Pamela Ling Yueh, pada 9 April lalu di Putrajaya, adalah rancangan yang dibuat wanita terbabit sendiri.
Elemen itu adalah antara intipati yang turut diambil kira pasukan siasatan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur.
Sementara dalam perkembangan lain, keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasi insiden serangan asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim pada Mei tahun lalu, sebagai NFA, bukan sahaja menghampakan pemain tersebut tetapi juga banyak pihak. – HARAKAHDAILY 13/5/2025











