
AYER KEROH: Cadangan agar gaji permulaan graduan universiti dinaikkan kepada RM7,000 hingga RM8,000 sebulan disifatkan tidak realistik dan berpotensi menggugat kestabilan pasaran pekerjaan dalam kalangan anak muda.
Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Melaka, Dr Shawn Loh Sheng Nian berkata, meskipun berasaskan kiraan inflasi ia tidak membawa manfaat kepada masyarakat, sebaliknya boleh menyebabkan lebih ramai graduan baharu menganggur kerana menolak tawaran gaji rendah yang dilihat tidak setimpal.
“Menurut bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Ibrahim dalam temu bual dengan media, gaji sebenar rakyat Malaysia telah menyusut hampir tiga kali ganda dalam tempoh 40 tahun lalu.
“Gaji permulaan graduan universiti kini hanya RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Gaji permulaannya pada 1984 ialah RM1,300 sebulan.
“Jika dikira pada kadar inflasi tahunan lima peratus, gaji permulaan yang munasabah untuk graduan universiti hari ini sepatutnya antara RM7,000 dan RM8,000 sebulan,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam
Beliau yang juga Naib Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Melaka berkata, pemimpin harus memberikan nasihat yang lebih baik kepada orang ramai, terutama orang muda.
“Walaupun gaji kita rendah, kenaikan mendadak kepada RM7,000 tidak akan membantu, malah akan menggegarkan pasaran menyebabkan kos asas melonjak 10 kali ganda.
“Peningkatan kos sara hidup telah memaksa ramai orang memilih untuk mempercayai cara yang menyalahi undang-undang, mudah dan menguntungkan untuk mencapai kebebasan kewangan mereka.
“Ini telah meningkatkan kelakuan mencuri, menipu, menculik, penipuan dan jenayah, terutama penarikan subsidi kerajaan telah memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Ketua DHPP Pusat, menggesa kerajaan agar lebih fokus kepada pengawalan harga barang dan pendidikan kewangan kepada golongan muda.
“Kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan tidak hanya menumpukan kepada perbahasan di tajuk utama media. Sila beri perhatian lebih kepada isu sara hidup rakyat dan bimbing graduan muda tentang persediaan untuk menempuh kehidupan baharu.
“Sebagai contoh, kursus pengurusan kewangan dan pekerjaan boleh menyediakan graduan untuk permulaan yang baik sebelum memasuki masyarakat.
“Jika tidak, walaupun gaji pokok melonjak kepada RM10,000, ia tidak akan menyelesaikan masalah asas dan kebarangkalian muflis di kalangan anak muda akan terus meningkat,” katanya.
Terdahulu, kerajaan mencadangkan agar klasifikasi kumpulan pendapatan B40, M40 dan T20 diubah kepada struktur baharu iaitu B20, M50 dan T30 selepas Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan gaji minimum negara kepada RM1,700.
Klasifikasi baharu yang dibangunkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) telah mengkategorikan isi rumah berdasarkan keupayaan dan corak perbelanjaan, bukan semata-mata berdasarkan jumlah pendapatan.
Bagaimanapun, Muhammad mempersoalkan sama ada ia benar-benar mencerminkan realiti ekonomi rakyat Malaysia kerana berdasarkan pemerhatiannya, kumpulan B40 kini mungkin sudah meliputi sehingga 60 peratus rakyat mengikut sistem klasifikasi lama.
Katanya, gaji rakyat hampir tidak menunjukkan sebarang peningkatan terutama selepas Covid-19 dengan ramai dalam golongan B40 tidak mempunyai simpanan dan hidup dalam kesempitan kewangan sementara menunggu gaji setiap bulan. – HARAKAHDAILY 13/5/2025











