
DUNGUN: Muslimat turut berperanan membina keteguhan parti dan kekuatan dari segi kepimpinan serta organisasi untuk mengendalikan arus perjuangan.
Naib Ketua Muslimat PAS Malaysia, Salamiah Mohd Nor berkata mereka bertanggungjawab untuk memilih kepimpinan di peringkat kawasan yang akan mengharungi cabaran dan ujian supaya terus bertahan mempertahankan kemenangan.
“Bina kekuatan parti dengan kualiti ahli, untuk berkualiti kena membina diri, bangun malam dan sentiasa puasa sunat.
“Sabar untuk istiqamah dalam perjuangan, intipati kesabaran bermula dengan iman, ilmu, amal dan yakin dengan takdir Allah (ikhlas), berdamai dengan takdir apa yang ditetapkan,” jelasnya.
Ahli Parlimen Temerloh itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Muslimat PAS Kawasan Dungun kali ke-43 yang berlangsung di Dewan Al-Husna, Markas Tarbiah Darul Ansor di sini, kelmarin.
Menurutnya lagi, muslimat yang berada dalam jemaah bukan kebetulan sebaliknya dipilih oleh Allah Taala.
“Berada dalam jemaah bukan kebetulan, Allah Taala memilih kita untuk berada dalam perjuangan ini
“Terpilihnya kita, bukan bijak dan pandai, terpilihnya kita bukan kerana mahir dan mempunyai skill, terpilihnya kita bukan kerana atas nama keturunan atau kemayshuran, maka kita kena bersyukur kepada Allah,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 13/5/2025












