
KUALA LUMPUR: Pengamal perubatan dan pemegang taruh utama dalam sektor kesihatan negara telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang dikenakan terhadap klinik swasta.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, himpunan telah berlangsung baru-baru ini membuktikan suara kolektif yang menolak pelaksanaan akta ini.
“Oleh kerana ia bakal memberi kesan langsung terhadap keberlangsungan perkhidmatan, kebajikan pengamal perubatan, serta kesejahteraan pesakit.
“Saya menuntut agar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Kerajaan Malaysia bertindak lebih bertanggungjawab dan prihatin dalam menangani isu ini.
“Perkhidmatan kesihatan adalah tunjang kepada kesejahteraan rakyat dan negara, dan ia tidak sepatutnya dipolitikkan atau dibebankan dengan peraturan yang menyusahkan penyedia perkhidmatan,” katanya menerusi kenyataan, tadi.
Ahmad Yunus selaku juga Ahli Parlimen Kuala Langat berkata, Menteri Kesihatan perlu mengambil peranan lebih proaktif dan responsif dalam menyelesaikan isu-isu kesihatan yang masih belum ditangani dengan berkesan.
“Segala dasar dan pelaksanaan harus melibatkan pandangan dari lapangan iaitu para pengamal perubatan bukan semata-mata berdasarkan keputusan pentadbiran.
“Saya percaya, dengan kerjasama yang telus dan pertimbangan yang adil, sistem kesihatan negara dapat diperbaiki sebaiknya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang.
Terdahulu, seramai 200 doktor swasta berhimpun di hadapan bangunan Perdana Putra, Putrajaya bagi menyertai 11 persatuan perubatan yang diketuai oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Anwar Ibrahim.
Kumpulan doktor swasta mendesak kerajaan menyemak semula penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan yang dilaksanakan tanpa rundingan dan libat urus.
Bakal Presiden MMA, Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, banyak persoalan telah dibangkitkan mengenai asas penggunaan akta itu serta kaedah pelaksanaan, namun sehingga kini tiada sebarang penjelasan diberikan.
Bermula 1 Mei lalu, semua klinik dan farmasi swasta dikehendaki memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah itu dilaksanakan mengikut Akta 723 dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga dan membolehkan pengguna membuat perbandingan harga. – HARAKAHDAILY 8/5/2025











