KDN FC yakin peroleh lesen, sedia rombak pasukan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelab bola sepak Kelantan Darul Naim (KDN) FC yakin mampu memperoleh Lesen Kebangsaan dari Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sekali gus membolehkan skuad Kijang Emas itu kekal bersaing dalam kancah Liga Super 2025/2026.

- Advertisement -

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, setakat ini KDN FC sudah berjaya menyelesaikan lebih 90 peratus urusan pelesenan kelab berkenaan.

Beliau memberitahu, bagi memenuhi syarat pelesenan, pihak kelab telah melakukan yang terbaik agar segala keperluan ditetapkan MFL dipatuhi.

“Setakat ini hanya tinggal keputusan rasmi mesyuarat First Instance Body (FIB) sama ada KDN FC layak untuk bersaing pada musim akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Apresiasi KDN FC di Hotel Perdana di sini pada Rabu malam.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif KDN FC, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.

Menurut Rozi, untuk musim baharu nanti KDN FC akan melakukan perubahan besar-besaran dalam barisan pemain.

Ujarnya, pada masa sama perubahan turut melibatkan pengurusan apabila rombakan dilakukan bagi memperkemaskan pasukan.

Rozi memberitahu, dalam saingan musim lalu, masalah kewangan memberikan kesan sehingga menjejaskan prestasi pasukan sebagaimana yang diketahui umum.

Namun, katanya, bagi menghadapi saingan 2025/2026 nanti, KDN FC telah menyediakan pelan baharu ke arah memulihkan semula pasukan.

Menyentuh isu gaji pemain, beliau mengakui masih berhutang empat bulan gaji dengan barisan pemain Liga Super untuk musim 2024/2025.
Katanya, pihak pengurusan mengambil serius perkara tersebut dan akan menyelesaikannya dalam masa terdekat.

“Sebenarnya kita (KDN FC) berdepan tunggakan gaji tujuh bulan, bukan lapan bulan sebagaimana didakwa. Tunggakan itu sebenarnya tidak lama.

“Kemudian kita telah teruskan penyelesaian dan setakat ini ia masih berbaki sebanyak empat bulan kerana tiga telah kita selesaikan.” – HARAKAHDAILY 8/5/2025

- Advertisement -