Solat bersama bunian: Video lama sudah dipadamkan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pendakwah terkenal, Syeikh Muhd Zainul Asri Mohd Romli tampil memberi pencerahan berkaitan video beliau yang membabitkan seorang ulama terkenal di Kedah.

- Advertisement -

Video berdurasi lebih daripada tiga minit itu,tular di media sosial dan TikTok di mana beliau mengkisahkan ulama tersebut menunaikan solat Jumaat bersama makhluk halus yang dikenali sebagai bunian.

Menurut beliau, video yang dianggap menimbulkan kontroversi itu telah beliau padam dari rekod simpanan medianya sejak Oktober tahun lalu.

“Selepas saya berjumpa dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, (JHEAIK) pada 13 Oktober 2024, semua video yang mencetuskan kontroversi itu dipadam.

“Sejak perjumpaan itu, tidak ada lagi sebarang video kontroversi baharu dimuat naik ke saluran media sosial kami. Video yang viral itu direkodkan sebelum sesi perjumpaan dengan JHEAIK diadakan,” jelas beliau.

Terdahulu, JHEAIK mengambil keterangan pendakwah tersebut susulan daripada penularan video yang dianggap kenyataan kontroversi, dipercayai dirakam dua tahun lalu.

Berikutan itu, Syeikh Zainol, mengharapkan pihak yang masih menyimpan video-video dianggap kontroversi seperti itu, tidak lagi menularkannya kerana ia tidak mencerminkan pendirian dan tindakan semasanya.

“Saya sudah dipanggil oleh JHEAIK untuk menerima nasihat dan teguran. Sesungguhnya saya amat menghargai teguran tersebut,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 6/5/2025

- Advertisement -