
KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat prihatin, khususnya warga Wilayah Persekutuan dan pendukung perjuangan Islam serta keadilan, untuk hadir menyatakan solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru dalam satu himpunan aman esok.
Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh berkata, himpunan itu akan berlangsung pada jam 10:30 pagi, Rabu, 7 Mei di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Rumah Persekutuan, Kuala Lumpur.
“Saya menyeru seluruh rakyat prihatin, khususnya anak-anak Wilayah Persekutuan dan para pendukung perjuangan Islam serta keadilan, untuk hadir menyatakan solidariti bersama penduduk Kampung Sungai Baru dalam himpunan aman,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, penduduk kampung terbabit akan membawa bukti status tanah mereka sebagai Tanah Rizab Melayu iaitu Penempatan Pertanian Melayu (MAS) dan menuntut siasatan segera terhadap isu yang mencabar hak milik tanah mereka.
Katanya, himpunan itu bertujuan mempertahankan warisan, maruah dan hak Melayu Islam di ibu kota daripada digadai tanpa pembelaan.
“Mari bersama mereka. Jangan biarkan warisan, maruah dan hak Melayu Islam di kota ini digadai tanpa pembelaan. Jangan lupa hadir sebagai tanda kita bersama mereka – suara rakyat, suara keramat!” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025











