Guna robot AI rawat pesakit perlu pertimbang nilai insani

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Perubatan Malaysia, Dr Suhazeli Abdullah menegaskan penggunaan robot kecerdasan buatan (AI) dalam merawat pesakit perlu diberi perhatian serius kerana ia berisiko mengabaikan nilai kemanusiaan dalam perawatan.

Beliau berkata, walaupun penggunaan teknologi itu dianggap canggih dan memberi kemudahan di klinik, manusia tetap memerlukan sentuhan kasih sayang, simpati dan empati dalam rawatan, bukan sekadar mengikut acuan ditetapkan dalam sistem robot.

- Advertisement -

“Menggunakan robot AI untuk merawat pesakit memang canggih. Kalau ada benda alah kat klinik ni lagi bagus. Tapi tunggu dulu! Sesuatu yang hilang apabila menggunakan robot iaitu nilai kemanusiaan!

“Manusia memerlukan sentuhan kasih sayang, simpati dan empati dalam setiap perawatan yang dijalankan. Bukan hanya mengikut acuan yang ditetapkan dalam otak robot,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Pakar Perubatan Keluarga itu berkata, isu privasi dan keselamatan data turut menjadi kebimbangan kerana penyimpanan dan pemprosesan maklumat perubatan pesakit oleh AI berisiko dicerobohi.

Katanya, secanggih mana pun sistem keselamatan, maklumat tetap boleh bocor termasuk data pesakit yang lebih terbuka untuk dicerobohi.

“Secanggih-canggih maklumat data keselamatan negara pun boleh bocor, apatah lagi data dari pesakit yang agak terbuka untuk dicerobohi.

“Bimbang juga boleh berlaku kegagalan sistem AI boleh menyebabkan kesilapan diagnosis atau rawatan. Haru jadinya,” jelasnya.

Menurut beliau, merawat pesakit seharusnya dilakukan oleh seorang doktor yang mempunyai nilai insani dan mampu berinteraksi secara semula jadi dengan pesakit sesama manusia.

Katanya, sentuhan serta perbualan antara manusia mempunyai nada fitrah yang difahami melalui gaya bahasa dan gaya badan tersendiri.

“Majlis Perubatan Malaysia sedang menyiapkan bagaimana untuk berinteraksi dengan penggunaan AI dalam konsep merawat. Sebab ianya melibatkan nilai dan etika keprofesionalan seseorang perawat.

“Kalaulah menggunakan robot AI, siapa yang perlu dipertanggungjawabkan dalam apa-apa jua kesilapan yang mungkin berlaku.

“Isu medikolegal kepada pesakit ini perlu dinilai semula di peringkat jawatankuasa Majlis Perubatan Malaysia supaya selari dengan peredaran zaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/5/2025

- Advertisement -