
KUALA LUMPUR: Perbahasan isu tarif balas Amerika Syarikat terhadap Malaysia mencetuskan gesaan agar Kerajaan Persekutuan turut melibatkan kerajaan-kerajaan negeri dalam sebarang rundingan perjanjian ekonomi.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dalam celahannya terhadap ucapan Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) menekankan kepentingan penglibatan kerajaan negeri memandangkan banyak industri berkaitan pelaburan asing turut berada di negeri-negeri.
“Ketua Pembangkang (Larut) membangkitkan perlunya kerajaan menubuhkan satu pasukan ataupun satu fokus untuk membincangkan terma-terma perundingan, (terms of negosiation) yang nak dibawa oleh kerajaan kita dengan Kerajaan Amerika Syarikat.
“Sesuai sangat sebagaimana dulu (pernah dilaksanakan) Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasific (CPTPP) tahun 2016,”ujarnya turut menegaskan agar Malaysia tidak dilihat condong ke arah mana-mana kuasa besar dunia.
Beliau turut melontarkan kemungkinan perlu melibatkan wakil-wakil daripada kerajaan negeri kerana memiliki industri yang melibatkan Amerika Syarikat sebagai contoh di Kulim, Kedah ada kilang Porche, juga di Kelantan adanya, Wako Electronic iaitu syarikat daripada Jepun.
Menjawab persoalan itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata, pembabitan kerajaan negeri memang wajar kerana isu ekonomi adalah masalah nasional yang memberi kesan secara menyeluruh.
“Itulah sebabnya saya memohon supaya kerajaan lebih terbuka untuk menubuhkan jawatankuasa tersebut. Kerana ini adalah masalah ekonomi negara maka ia membabitkan semua kerajaan-kerajaan negeri.
“Semasa kita dulu pernah kita lakukan, sekarang juga boleh kita lakukan, saya mohon sangat perkara ini dilakukan sekali lagi,” ujarnya pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula mempersoalkan hala tuju dasar luar negara yang dilihat cenderung kepada blok bertentangan dengan Amerika Syarikat, sekali gus berpotensi memburukkan lagi keadaan.
“Earlier (Awalnya) Larut katakan bahawa dalam pertembungan antara Amerika dengan China ini, Malaysia ‘have to stay neutral’. Apa yang jelas sekarang ini, tarif yang dikenakan oleh Amerika ‘the first round’.
“Ianya Malaysia beza lebih tinggi daripada Singapura, lebih tinggi daripada Filipina. ‘Since to be inclined’ kepada sebuah negara China. Sebab itu kita berhadapan dengan tarif yang lebih tinggi.
“Tetapi tidak tekan kerajaan dalam mengangkat China dalam lawatan Presiden China baru-baru ini, adakah ini tidak menunjukkan bahawa kita terlalu memihak satu satu pihak dalam pertembungan ini?
“Dan saya dimaklum, kita dimaklumkan bahawa Perdana Menteri akan membuat lawatan ke Rusia dan ini juga dilihat sebagai satu lawatan satu yang kita ini ‘too pro’ kepada blok yang bertentangan dengan Amerika. Adakah ini baik Larut?” soal beliau.
Justeru ujar Hamzah, pendirian neutral perlu dipertahankan untuk melindungi kepentingan ekonomi negara dan tidak dilihat sebagai berpihak secara terbuka. – HARAKAHDAILY 5/5/2025












