Kaji semula strategi eksport lindungi sektor terkesan

Tarif Amerika Syarikat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) menggesa kerajaan mengambil langkah proaktif bagi menghadapi kemungkinan kesan daripada dasar tarif baharu Amerika Syarikat (AS) yang menurutnya boleh menjejaskan pelbagai sektor eksport negara.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara sektor terdedah ialah barangan perkilangan seperti perabot dan sarung tangan getah yang banyak dieksport ke Amerika Syarikat, selain sektor elektronik, farmaseutikal dan tenaga turut mempunyai komponen dari China.

“Saya ingin mengingatkan kepada kerajaan walaupun produk elektronik, farmaseutikal dan tenaga seperti yang diumumkan tadi dikecualikan buat masa ini tapi kita kena fikirkan sama bahawa komponen-komponen tentang barangan-barangan tersebut mungkin datangnya juga daripada China.

“Saya risau kalau ini akan ditekan oleh Amerika untuk mengumumkan ‘the country of origin’ daripada bahan-bahan yang kita perolehi maka saya yakin mungkin ada dasar-dasar baru yang akan dikenakan kepada Malaysia.

“Maka sebab itu saya ingin supaya kita bersedia dan menilai kembali tentang perkara-perkara yang akan diambil dalam tarif yang akan diumumkan, tambahan-tambahan yang akan diumumkan oleh Amerika pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan isu tarif timbal balik sepihak diumumkan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump baru-baru ini pada Persidangan Khas Parlimen, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Hamzah turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang terhadap keselamatan makanan negara sekiranya kerajaan gagal bertindak dari sekarang.

“Saya juga ingin maklumkan bahawa tarif ini juga boleh menggugat keseluruhan ekosistem ekonomi dalam negara kita termasuk
sektor pertanian.

“Maka saya ingin mengingatkan kerajaan supaya kalau boleh kita melihat ini sebagai satu-satu lagi perkara atau sektor yang penting demi masa depan ‘food security’ sebagai contoh.

“Kalau boleh kerajaan buat kajian ini supaya kita dapat mengurangkan bahan-bahan import produk pertanian ataupun bahan-bahan atau produk-produk makanan yang kita banyak import itu sepatut kita ambil kira supaya kita dapat membantu petani-petani daripada sekarang,” katanya.

Beliau turut meluahkan kebimbangan terhadap dasar tarif baharu itu, jika berlarutan selama empat tahun sepanjang pentadbiran Presiden Donald Trump sekiranya dipilih semula, mampu memberi kesan jangka panjang terhadap keselamatan makanan negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan memanggil pemain industri untuk sama-sama berbincang dan melihat bentuk insentif yang boleh diberikan.

“Contohnya, beri ‘tax delayed’, saya fikir kalau kita boleh lakukan, kita berikan satu tempoh yang agak panjang kepada ‘export market’ tadi, ‘players’ tadi kita boleh ‘spread over’ empat tahun sebagai contoh, sebab Trump empat tahun tarif ni mungkin berbeza polisinya pada presiden yang akan datang.

“Jadi sebab itu kita berikan ‘a longer period of time’ untuk mereka yang dapat menentukan supaya tidak ada pembuangan pekerja-pekerja dan demand terhadap market ini boleh kita mencari pasaran-pasaran yang baru.

“Saya juga ingin mencadangkan supaya eksport insentif kita berikan eksport insentif ini supaya mereka sendiri fikirkan pasaran-pasaran yang baru yang boleh mereka cari.

“Jadi bukan hanya kerajaan yang membuka jalan tapi kita berikan eksport insentif kalau selama ini dia eksport sebanyak satu bilion kalau dia tambah lagi ‘export market’ ke negara-negara lain.

“Kita berikan insentif-insentif untuk mereka mencari jalan kerana mereka lebih tahu siapa yang memerlukan produk-produk mereka, begitu juga dengan sektor-sektor yang lain.

“Kita tingkatkan produktiviti supaya domestik demand itu boleh kita buat melalui kempen-kempen beli barangan Malaysia sebagai contoh,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/5/2025

- Advertisement -