
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran menangguhkan pelaksanaan sebarang dasar baharu khususnya melibatkan aspek fiskal negara yang boleh memberi tekanan kos kepada rakyat dan menjejaskan sentimen perniagaan.
Dato’ Seri Hamzah Zainudin (PN–Larut) berkata, pelaksanaan beberapa dasar seperti kenaikan harga RON95 yang dijangka pada Jun 2025 dan tarif elektrik pada Julai 2025 perlu diteliti semula dengan serius.
“Saya ingin mendesak kerajaan kalau boleh kerajaan perlu prihatin dan ambil serius kesan perlaksanaan tarif ini kita tangguhkan sebarang perubahan dasar.
“Terutamanya fiskal negara kita yang boleh memberi tekanan kos dan melemah sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata demikian semasa membahaskan isu tarif timbal balas sepihak yang dikenakan pentadbiran Kerajaan Amerika Syarikat baru-baru ini pada sidang khas Parlimen, di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang turut mencadangkan agar langkah perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) turut ditangguhkan.
Dalam pada itu, Hamzah juga membangkitkan isu pembelian 30 buah pesawat Boeing oleh kerajaan, yang menurutnya tidak wajar dibuat dalam keadaan ekonomi negara belum stabil.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini kalau boleh kita tangguh, kita tangguhkanlah dahulu. Inilah permintaan kami di pihak sini ,” katanya. – *HARAKAHDAILY 5/5/2025*











