
PENGKALAN CHEPA: Pembinaan semula rumah sedang diusahakan untuk membantu lapan keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kijang, di sini kembali meneruskan kehidupan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Dato’ Dr Izani Husin berkata, antara alternatif yang difikirkan sesuai untuk mereka adalah Rumah Dhuafa’ di Kampung Badang yang kini masih dalam pembinaan.
Tambahnya, perbincangan dengan Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud juga sudah dilakukan untuk memohon kediaman tersebut yang dijangka siap pada bulan Ogos.
Bagaimanapun katanya, penyediaan rumah itu bergantung kepada kedudukan kewangan serta kesesuaian kediaman berkenaan.
“Kerana itu kita perlukan sumbangan sekitar RM500,000 untuk mendapatkan lapan buah rumah sebagai ganti kepada mangsa-mangsa kebakaran ini,” katanya.
Menurut Dr Izani, antara usaha yang dilakukan oleh Pusat Khidmat DUN Kijang ialah dengan menubuhkan Tabung Amal DUN Kijang bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menyumbang.
“Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengumpul lebih RM93,000 untuk mangsa terlibat dan berharap masih ada lagi sumbangan daripada syarikat korporat dan individu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Tabung Kutipan Derma Bagi Membantu Mangsa Kebakaran, Tabung Amal DUN Kijang pada Khamis.
Menurutnya, tabung berkenaan akan dibuka selama sebulan bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyalurkan sumbangan.
Bagaimanapun katanya, pihaknya akan berbincang dengan mangsa kerana yang paling utama adalah memastikan kesemua mereka layak menerima rumah berbanding wang tunai.
Dr Izani yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar berkata, buat masa ini kesemua mangsa dicadangkan untuk menyewa rumah lain yang akan ditanggung hasil kerjasama kerajaan negeri dan sumbangan orang ramai.
Pada majlis itu, Dr Izani turut memberi sumbangan peribadi sebanyak RM10,000.
Turut menyumbang adalah keluarga terdekatnya termasuk isteri dan anak-anak yang keseluruhannya berjumlah RM10,000.
Anak-anak syarikat kerajaan negeri seperti Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), PMBK Sawit, Utilities Mubarokan serta beberapa syarikat persendirian juga turut memberi sumbangan. – HARAKAHDAILY 2/5/2025













