Mangsa kebakaran Kg Kijang syukur dibantu kerajaan

Bahrulnurarifah menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa
- Advertisement -

KOTA BHARU: Beberapa keluarga mangsa kebakaran di Kampung Kijang menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan Negeri Kelantan yang segera menghulurkan bantuan kepada mereka.

- Advertisement -

Kebakaran yang berlaku pada petang 28 April lalu memusnahkan lapan kediaman membabitkan 32 isi rumah, manakala sebuah lagi rumah hanya terbakar sekitar 20 peratus.

Zainun Mat Daud, 55, berkata kejadian berlaku ketika beliau sedang menunaikan solat Asar sebelum terdengar suara jeritan orang ramai dan bau asap yang semakin kuat.

Zainun Mat Daud

“Ketika itu orang ramai menjerit ‘api! api!’ tanpa henti. Saya segera keluar bersama anak-anak dan hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Mat Husin Sulaiman, 63, pula sempat menyelamatkan beberapa kenderaan miliknya termasuk kereta dan motosikal.

Mat Husin Sulaiman

“Sekarang saya menumpang di rumah anak saya di Taman Tengku Anis. Saya berharap ada sumbangan untuk menyiapkan rumah yang sedang dibina di Lorong Tok Ji, Kijang,” katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa tinggal di rumah milik sendiri, namun tanah yang diduduki hanyalah tanah sewaan.

Beliau turut berterima kasih kepada pimpinan kerajaan negeri yang hadir menziarahi mereka serta membawa bantuan segera.

Antara yang hadir ialah Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Marzuk Shaary serta Exco Kebajikan, Negeri, Rohani Ibrahim.

Seorang lagi mangsa, Mohd Azizi Mohd Nor, 18, berkata ketika kejadian, beliau bersama abang dan kakaknya tiada di rumah kerana bekerja.

Mohd Azizi Mohd Nor

“Saya dapat tahu rumah terbakar selepas dihubungi jiran. Alhamdulillah rumah saya hanya terbakar kira-kira 20 peratus sahaja dan banyak barang masih selamat,” ujarnya.

Terdahulu, mangsa-mangsa menerima kunjungan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kerajaan Kelantan Darulnaim (PURNAMA) diketuai Timbalan Pengerusinya, Datin Bahrulnurarifah Baharuddin.

Bahrulnurarifah dalam ucapannya berkata, ujian berupa bala atau musibah merupakan cara Allah untuk mengangkat darjat dan menghapuskan dosa-dosa lalu.

Katanya lagi, setiap ujian adalah bukti kasih sayang Allah dan peluang untuk mempertingkatkan keimanan.

“Musibah ini mungkin sebagai penghapus dosa-dosa lalu. Mungkin begitu… dan yang lebih besar, Allah sendiri berselawat ke atas mereka yang diuji dan sabar,” ujarnya.

Beliau turut bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.

“Alhamdulillah, hanya harta benda yang terbakar dan mungkin juga Allah mahu menggandakan rezeki mereka selepas ini,” katanya lagi.

Bahrulnurarifah turut menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa yang dikumpul melalui pertubuhan berkenaan. – HARAKAHDAILY 2/5/2025

- Advertisement -