
BICARA kes saman fitnah Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor terhadap Menteri Dalam Negeri (KDN), Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara tidak langsung memberi jawapan kepada isu yang berlegar sejak dua tahun lalu.
Sanusi yang diwakili peguam Yusfarizal Yussof, Wan Rohimi Wan Daud, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar dalam perbicaraan yang berlangsung pada 28 dan 29 April di Mahkamah Tinggi Alor Setar, mengutarakan beberapa inti penting berkaitan kes saman berkenaan.
Antara rentetan peristiwa bersabit kes saman tersebut adalah seperti berikut:
4 Oktober 2022
Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah mengeluarkan surat kompaun berjumlah RM500,000 kepada Perbadanan Menteri Besar (MBI) berkaitan isu pencerobohan serta kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, tetapi dibatalkan.
5 Oktober 2022
Surat kompaun baharu kemudiannya dikeluarkan kepada Ho Chung Ming, iaitu individu yang dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa sebagai pihak yang bersalah.
12 April 2023
40 individu termasuk 35 warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Baling atas pertuduhan menceroboh Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Najwa Che Mat, dua tertuduh iaitu Ho Chung Meng, 54 dan Poh Chu Yuan, 21, masing-masing warga tempatan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atas mereka.
Kesemua mereka didakwa mengikut Subseksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara 1984 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
15 Julai 2023
Saifuddin dalam satu ceramah pada Program Jelajah Perpaduan dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Padang Awam Guar Chempedak, Yan, menuduh Sanusi mencuri REE di Kampung Chong, Sik.
“Kita lantik dia jadi Menteri Besar, suruh jaga negeri, bukan suruh curi REE” dakwa beliau dalam ucapan pada majlis itu yang menjadi butiran pertuduhan kes fitnah tersebut.
3 Ogos 2023
Sanusi telah memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan tersebut melalui Faizi and Associates di Mahkamah Tinggi Alor Setar.
Dalam pada itu, tiga inti penting berkaitan isu ini sedikit sebanyak dapat menghurai tuduhan berkenaan, pada perbicaraan selama dua hari bermula 26 hingga 27 April 2025
Pertama, Menteri KDN itu menggunakan surat kompaun yang telah dibatalkan oleh PTG Kedah kepada MBI bertarikh 4 Oktober 2022 sebagai barang kes.
Mahkamah Tinggi Alor Setar menerima bantahan pihak Menteri Besar Kedah itu, untuk tidak menerima surat kompaun berjumlah RM500,000 daripada PTG Kedah kepada MBI bertarikh 4 Oktober 2022 itu, sebagai barang kes.
Malah, surat berkenaan telah dibatalkan oleh PTG dan sesuatu yang tidak wujud, tidak boleh dijadikan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.
Bekas Pengarah PTG Kedah, Dato’ Mohd Fauzi Mustaffa juga telah memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan Lee bahawa surat tersebut dibatalkan selepas seorang individu mengaku bertanggungjawab terhadap kecurian REE di Kampung Chong, Sik, pada keesokan harinya.
Mahkamah juga bersetuju bahawa surat bertarikh 4 Oktober 2022 yang sudah dimusnahkan tidak boleh dijadikan barang kes.
Malah Mohd Fauzi yang merupakan Pengarah PTG ketika itu memberitahu mahkamah bahawa surat bertarikh 4 Oktober 2022 itu wujud dan beliau sendiri yang menandatangani surat berkenaan.
Tetapi membatalkan pada hari yang sama dan tidak mengeluar atau menghantarnya kepada sesiapa, walaupun asalnya ditujukan kepada MBI, tetapi dibatalkan kerana siasatan mendapati MBI tidak bersalah.
Sementara surat kompaun baharu kemudiannya dikeluarkan pada 5 Oktober 2022 kepada Ho Chung Ming, iaitu individu yang dikenal pasti oleh pihak penguatkuasa sebagai pihak yang bersalah, bukan kepada MBI atau kepada Sanusi sebagaimana dituduh.
Kedua, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu juga bersetuju Sanusi mengurus peruntukan atau dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dengan betul serta mengikut prosedur.
Saifuddin pada sesi perbicaraan juga telah memaklumkan kepada mahkamah, bahawa beliau bersetuju bahawa Menteri Besar Kedah ketika memerintah tidak pernah menggunakan dana MARRIS untuk pembangunan.
Pengakuan Saifuddin itu telah cukup untuk mengesahkan Sanusi tidak menyalahgunakan peruntukan untuk tujuan yang lain
Ketiga, Saifuddin dengan sengaja cuba kelirukan rakyat kononnya kejadian kecurian REE itu benar-benar berlaku.
Berdasar kepada kejadian, kecurian REE memang berlaku, tetapi kesemua penceroboh itu telah berjaya ditahan pihak penguat kuasa seterusnya didakwa di mahkamah, tetapi bukan sebagaimana yang didakwa serta difitnah Saifuddin dan pengikutnya bahawa pihak MBI dan Sanusi turut terlibat.
Oleh itu tindakan fitnah oleh Saifuddin bersama dan para penyokongnya khususnya dari PH, telah menyebabkan reputasi dan imej cemerlang Sanusi sedikit tercalar dan rosak.
Maka tindakan saman adalah sesuatu yang sangat tepat dan rasional bagi menghukum Saifuddin dan penyokong-penyokongnya.
Malahan tuduhan Menteri KDN berkaitan kecurian REE itu, mendapat liputan media meluas dan dianggap cuba menjatuhkan reputasi Sanusi sebagai Menteri Besar, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 lalu.
Perbicaraan akan disambung semula pada 11 Mei 2025. – HARAKAHDAILY 2/5/2025











