
ALHAMDULILLAH, marilah kita merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat dan kasih sayang-Nya, kita masih diberi ruang untuk menyambut Hari Pekerja pada tahun ini.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga pekerja – sama ada di sektor awam, swasta mahupun yang berdikari sebagai usahawan, petani, nelayan dan pekerja gig ekonomi. Sesungguhnya, kalian adalah nadi penggerak pembangunan negara dan kekuatan ummah.
Islam meletakkan pekerjaan sebagai satu ibadah yang mulia. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mulk, ayat 15:
“Dialah yang menjadikan bumi ini mudah untuk kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah dari rezeki yang dikurniakan-Nya. Dan kepada-Nyalah kamu dibangkitkan (pada hari akhirat).”
Ayat ini menegaskan bahawa bekerja dan berusaha mencari rezeki adalah suatu tuntutan yang diberkati Allah, selagi mana ia dilakukan dengan jujur, halal dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam konteks pembangunan ekonomi dan keusahawanan, PAS sentiasa komited untuk memperjuangkan sistem ekonomi yang adil, bebas daripada penindasan, dan memberi peluang sama rata kepada semua lapisan rakyat. Kita percaya bahawa kekuatan ekonomi umat Islam adalah sebahagian daripada keutuhan perjuangan Islam itu sendiri.
Justeru, marilah kita mengambil kesempatan Hari Pekerja ini untuk memperbaharui tekad agar segala usaha dan keringat kita dalam mencari nafkah bukan sahaja membawa kejayaan duniawi, tetapi juga mendapat redha Ilahi.
Akhir kata, saya doakan agar semua pekerja diberikan kekuatan, kesihatan dan keberkatan dalam setiap urusan. Semoga Malaysia terus maju dengan rakyat yang berpegang teguh kepada nilai kerja, integriti dan keimanan.
Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
AHMAD SAFAWI TAHARIM
Pengerusi
Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Modal Insan
PAS Negeri Pahang
1 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 1/5/2025











