Apa selepas PRK Ayer Kuning?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning yang baru berlalu telah menjadi satu petunjuk penting kepada kedua-dua gabungan politik, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

- Advertisement -

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan kedua-dua gabungan politik cuba menuntut ‘kemenangan’ masing-masing sama ada kemenangan zahir bagi pihak PH-BN atau kemenangan moral bagi pihak PN.

“Meskipun kemenangan diperolehi oleh PH-BN, perlu disedari bahawa DUN Ayer Kuning sememangnya kubu kuat BN sepertimana juga DUN Nenggiri. Oleh sebab itu, diyakini PH-BN pun tidak memandang enteng petunjuk penting dari PRK tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, sejak negara merdeka pada tahun 1957, DUN Ayer Kuning dan Parlimen Tapah bukan sahaja kubu kuat bagi Umno, malah kubu kuat bagi MCA dan MIC.

Katanya, ketika BN dipukul badai politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tahun 2022, BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat dan 9 kerusi di DUN Perak, namun Parlimen Tapah menyumbang 1 kerusi Parlimen dan 2 kerusi DUN untuk BN dalam PRU-15 lalu.

“Dengan pengertian lain, BN menyapu bersih semua kerusi di Parlimen Tapah, menunjukkan betapa kawasan ini termasuk DUN Ayer Kuning adalah sememangnya kubu kuat bagi BN,” jelasnya.

Beliau berkata, Parlimen Tapah dan DUN Ayer Kuning bukan setakat kubu kuat BN, tetapi juga adalah benteng terakhir gabungan politik tersebut.

“Sekiranya PRU ke-15 menjadi ukuran kekuatan BN, melihat kepada 30 kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN Perak yang masih tinggal, kerusi-kerusi itulah boleh dianggap benteng terakhir BN.

“Jika BN tewas di PRK Ayer Kuning lepas, bermakna mereka tewas di benteng terakhir mereka. Kekalahan di benteng terakhir, bermakna sebagai gabungan politik BN boleh hancur di dalam PRU ke-16 akan datang,” terangnya.

Menurut beliau, kekalahan PN dalam PRK Ayer Kuning sememangnya boleh dijangka sejak awal lagi kerana kawasan itu sememangnya kubu kuat BN, selain demografi DUN Ayer Kuning juga tidak memihak kepada PN.

“Dengan komposisi pengundi Melayu sekitar 56 peratus, berdasarkan ‘track record’ PN di dalam PRU ke-15 yang lalu, memang agak sukar untuk PN mencapai kemenangan.

“Oleh sebab itu, sasaran untuk mengurangkan jumlah undi yang sepatutnya diperolehi oleh PH-BN iaitu 15,963 undi atau 68 peratus undi popular adalah sesuatu ‘kemenangan’ yang boleh dicapai oleh PN,” beritahunya.

Beliau berkata, PN telah berjaya mengurangkan jumlah undi atau peratusan undi popular yang sepatutnya diperolehi oleh gabungan PH-BN.

“Gabungan PH-BN hanya mampu memperoleh jumlah undi 11,065, iaitu kurang 4,898 undi, atau hanya 61 peratus undi popular, iaitu kurang 7 peratus daripada yang sepatutnya diperolehi.

“Jumlah pengundi keluar berkurangan boleh dijadikan alasan mengapa undi yang sepatutnya diperolehi oleh PH-BN kurang. Bagaimanapun, alasan tersebut tidak boleh menjawab mengapa peratusan undi popular PH-BN tidak mampu mencapai 68 peratus,” katanya.

Beliau berkata, di pihak PN pula, keputusan PRK Ayer Kuning tidak boleh dipandang remeh kerana sekurang-kurangnya PRK itu menunjukkan gabungan PH-BN boleh menambahkan undi kedua-dua parti gabungan tersebut.

“Walaupun jumlah gabungan undi yang diperolehi oleh PH dan BN berkurangan daripada yang sepatutnya, pertambahan tetap berlaku. Pertambahan jumlah undi di pihak PH dan BN, hasil daripada gabungan undi yang telah diperolehi oleh kedua-dua gabungan politik dalam PRU ke-15 adalah cukup signifikan untuk merampas kerusi-kerusi PN,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam PRK Ayer Kuning, terdapat dua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang menjadi petunjuk bahawa gabungan undi Melayu yang diperolehi oleh PH dan BN dalam PRU ke-15 yang lalu boleh menggugat kekuatan PN.

“Dalam PRU ke-15, PDM Batu Mesjid dimenangi oleh PN dengan 345 undi. Manakala BN pula memperoleh 323 undi dan PH pula 85 undi.

“Dalam PRK baru-baru ini, PN memperoleh 292 undi dan BN memperoleh 384 undi. Jumlah undi yang diperolehi oleh BN menunjukkan berlaku penggabungan undi yang diperolehi pada PRU ke-15 oleh PH dan BN,” kupasnya.

Menurut beliau, perkara sama berlaku di PDM Tanjung Keramat yang masih dimenangi oleh PN dalam PRK Ayer Kuning.

“Di dalam PRU ke-15 yang lalu, PN memperolehi 505 undi, BN memperolehi 346 undi dan PH pula 82 undi. Di dalam PRK baru-baru ini, PN memperolehi 468 undi, manakala BN memperolehi 380 undi.

“Sekali lagi, gabungan undi yang diperolehi oleh BN dan PH di dalam PRU ke-15 berlaku di dalam PRK Ayer Kuning yang baru lepas. Gabungan undi ini diyakini datangnya dari pengundi-pengundi Melayu yang menyokong PH dalam PRU ke-15 yang lalu,” terangnya.

Beliau berkata, kedua-dua PDM menunjukkan ada peralihan undi Melayu dari pengundi Melayu PH kepada BN dalam PRK Ayer Kuning.

“Demikian juga dengan pengundi-pengundi Cina yang mengundi PH, berlaku peralihan untuk mengundi BN dalam PRK yang baru lalu. Di PDM Coldstream (majoriti kaum Cina), dalam PRU ke-15, PN memperoleh 9 undi, BN memperoleh 188 undi dan PH pula 935 undi.

“Dalam PRK lepas, PN memperoleh 23 undi, manakala BN memperoleh 708 undi. Jelas daripada keputusan PRK, berlaku peralihan pengundi Cina kepada BN dengan jumlah agak besar,” jelasnya.

Katanya, kesimpulan yang boleh dibuat adalah gabungan undi yang diperolehi oleh PH dan BN memang telah berlaku apabila kedua-dua gabungan politik bergabung dalam PRK.

“PRK Ayer Kuning membuktikan sekali lagi berlaku peralihan pengundi Melayu dan pengundi Cina PH kepada calon BN dengan jumlah yang signifikan.

“Gabungan undi PH dan BN ini berpotensi besar untuk merampas kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang telah dimenangi oleh PN dalam PRU ke-15 yang lalu.

“Gabungan undi PH dan BN seperti yang ditunjukkan dalam PRK seharusnya menjadi ‘wake up call’ kepada PN,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/5/2025

- Advertisement -