KDPP penyegar wacana politik negeri-negeri

Pelancaran Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (Foto: ASTRO AWANI)
- Advertisement -


SAYA mengalu-alukan peluncuran Kaukus Demokrasi Pelbagai Parti (KDPP) yang dianggotai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari lima negeri pada Rabu lalu. Ia turut disertai tiga organisasi masyarakat sivil (CSO). Sekretariatnya ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) dan Instititut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Tahniah diucapkan kepada Dr Hafidzah Mustakim (AMANAH-Kota Lama) dan Datuk Andansura Rabu (PAS-Beserah) sebagai Pengerusi Bersama. Ketika menubuhkannya, sekretariat telah menghubungi sebilangan ADUN lain dan keahliannya masih terbuka.

Menurut Hafidzah dan Andansura, KDPP bertujuan melaksanakan reformasi institusi dan mengukuhkan tadbir urus demokratik peringkat negeri.

KDPP bertujuan memastikan perkara-perkara dasar, contohnya, pengagihan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF), pendanaan politik serta peranan semak dan imbang di negeri-negeri dapat dilaksanakan secara telus dan adil tanpa mengira parti.

Pada saya, penubuhan KDPP adalah kesinambungan kepada beberapa inisiatif reformasi institusi yang telah bermula di Parlimen sejak 2018. Mulai tahun itu, lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) telah ditubuhkan, iaitu tidak lagi terhad kepada dua-tiga JKPK sahaja dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Hari ini, di samping PAC, terdapat sepuluh JKPK yang meliputi semua portfolio kementerian-kementerian. JKPK dianggotai Ahli-ahli Parlimen (AP) rentas parti. Ia mempunyai kedudukan rasmi dan adalah sebahagian daripada proses membuat keputusan Parlimen. Sekretariatnya diuruskan pegawai-pegawai Parlimen. 

Di samping itu, terdapat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM), iaitu platform AP yang berdaftar di Parlimen. Hari ini, wujud tujuh APPGM, iaitu berkenaan dasar pelarian, matlamat pembangunan mampan, pendanaan politik, integriti/governans dan anti-rasuah, pengurusan risiko bencana, hak kanak-kanak, dan keharmonian kaum dan agama. APPGM berperanan dengan membentangkan cadangan-cadangannya kepada Parlimen.

Seterusnya, terdapat satu lagi platform AP rentas parti, iaitu Kaukus. Hari ini, wujud dua Kaukus, iaitu berkenaan Palestin dan Mineral Kritikal.  

Kebanyakan APPGM dan Kaukus turut dianggotai pelbagai CSO dan ahli profesional yang berkaitan, dan sekretariatnya diuruskan CSO.

Kewujudan JKPK, APPGM dan Kaukus Parlimen, dan kini, KDPP, amat penting dari segi reformasi institusi secara khusus, iaitu untuk memperbaiki struktur dan proses membuat undang-undang, peraturan-peraturan dan pelbagai keputusan. 

Dari segi yang lain pula, ia amat penting dalam usaha reformasi politik dan demokrasi yang menyeluruh. Satu daripadanya ialah, yang saya tulis sebagai Politik Baru (2008), iaitu mematangkan demokrasi Malaysia sehingga wujud manhaj (cara) Demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum dan moderat.

Antara asasnya ialah Politik Ilmu. Elemen-elemennya ialah definisi ilmu yang tepat, iaitu ‘ilmu ialah ketibaan makna daripada maklumat yang benar’ (Naquib al Attas) dan budaya ilmu, iaitu semua kita, termasuk ahli politik, sentiasa menuntut ilmu, meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat teratas, dan setiap keputusan dibuat berasaskan ilmu (Wan Mohd Nor). 

Platform-platform begini signifikan untuk perundingan dalam merangka dasar-dasar dan program-program serta menyelesaikan masalah-masalah dengan fakta dan bijaksana. Ia juga signifikan untuk membawa politik kearah pertengahan (centrist, moderat) dan mengurangkan perbezaan-perbezaan yang terlalu tajam.

DATO’ SRI SAIFUDDIN ABDULLAH
Pengerusi Perikatan Nasional Pahang
Ahli Parlimen Indera Mahkota
1 Mei 2025 – HARAKAHDAILY 1/5/2025

- Advertisement -
- Advertisement -