Peka langkah pencegahan, jangan cetus spekulasi panik

Kluster penyakit berjangkit di Yan dan Kuala Muda

- Advertisement -

JERAI: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada berikutan satu kluster penyakit berjangkit yang belum dikenal pasti puncanya telah dikesan di Daerah Yan dan Kuala Muda, di sini.

- Advertisement -

Seramai 39 pelajar dan kakitangan sebuah sekolah di sini dikesan mengalami jangkitan berkenaan selepas pulang dari menyertai kem di Yan baru-baru ini.

Daripada 763 yang terlibat dalam aktiviti di kem tersebut, 39 pelajar dan kakitangan terbabit, dilaporkan mengalami simptom demam, batuk dan ruam pada badan selepas menyertai kem di lokasi berkenaan.

Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dilaporkan berada di dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan panik dan mengganggu siasatan.

Sungguhpun begitu, beliau menasihatkan semua pihak agar
sentiasa peka terhadap langkah pencegahan dan menjaga kebersihan
persekitaran dan kawasan rekreasi.

“Pemeriksaan dan penilaian risiko telah dijalankan di lokasi terlibat, selain beberapa langkah kawalan pencegahan telah dikuatkuasakan.

“Selain mengambil langkah berjaga-jaga, sekiranya mempunyai gejala seperti demam, ruam, gelembung kulit, batuk, selesema, muntah atau cirit-birit, segeralah ke hospital terdekat, mendapatkan rawatan,” katanya di sini. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -