
KUALA TERENGGANU: Gabungan 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara menyatakan sokongan terhadap langkah Kerajaan Negeri Terengganu memperluaskan kawalan terhadap vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut kenyataan bersama, gabungan tersebut menyokong penguatkuasaan baru yang akan bermula 1 Ogos ini.
“Antaranya, larangan pemberian lesen untuk penjualan vape, mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang kecil di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171), menolak sebarang bentuk tajaan daripada syarikat vape untuk acara kerajaan negeri, dan melarang iklan berkaitan vape,” katanya.
Gabungan NGO itu turut berpendapat peluasan kawalan skop larangan PBT adalah wajar memandangkan situasi semasa yang semakin membimbangkan.
“Ini termasuk kaitan antara penyalahgunaan vape dengan dadah. Polis mengesahkan vape menjadi medium baharu penyeludupan dadah sintetik. Timbalan Ketua Polis Negara menyarankan negeri mengharamkan jualan vape untuk membanteras ancaman ini.
“Kes kematian seorang jurujual alat ganti kenderaan yang ditemukan tidak sedarkan diri dengan mulut berbuih dalam keretanya selepas dipercayai menghisap vape.
“Vape mengandungi dadah sintetik berbahaya, sampel ‘magic mushrooms’ dalam cecair vape dikesan mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya daripada psilosibin.
“Menteri Kesihatan juga mengesahkan bahawa vape menyebabkan EVALI dan direkodkan sebanyak 41 kes di Malaysia dengan kos rawatan RM150,000 setiap pesakit. Selain, penyahsenaraian nikotin dari senarai racun terkawal akibat desakan industri,” katanya.
Gabungan tersebut turut menyambut baik usaha Kerajaan Negeri Terengganu menawarkan latihan keusahawanan alternatif yang lebih selamat kepada pengusaha dan pekerja kedai vape serta peralihan selama tiga bulan sebelum penguatkuasaan penuh.
Gabungan NGO menyeru seluruh rakyat Malaysia berganding bahu untuk memelihara jiwa, akal, keturunan, harta dan agama daripada ancaman vape, selari dengan semangat kemerdekaan negara.
“Marilah sama-sama kita berusaha agar kita dapat “memerdekakan negara dari bahaya vape yang membunuh”,” kata kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 29/4/2025











