
SUNGAI PETANI: Ilmu agama merupakan asas terpenting dalam pembinaan masyarakat, khususnya ke arah menjadikan seluruh umat manusia hidup dengan akidah dan tatalaku yang bertepatan dengan tujuan dihidupkan di dunia.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah mengimpikan tamadun ilmu yang hebat sebagaimana pada zaman kegemilangan Islam dahulu merangkumi semua cabang ilmu dapat dihidupkan semula.
“Usaha ini kita lakukan menerusi gagasan besar Cordoba of Kedah di mana matlamatnya untuk melahirkan umat yang berpegang teguh pada akidah tauhid, bermoral tinggi dan berkompetensi.
“Serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang untuk menjana kemakmuran hidup manusia di mana-mana mereka diperlukan,” kata beliau.
Menurutnya lagi, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil akan dijadikan ‘The Centre of Excellent’ atau Hab Cordoba of Kedah.
Jelas beliau, menerusi pelbagai pusat pendidikan yang ada di seluruh negeri, termasuk Akademi Darul Ilmi, secara tidak langsung dapat melahirkan generasi Islam profesional dan berjiwa teknokrat.
Sementara pada masa sama ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu, menjadi hamba Allah yang bertakwa dengan dadanya sarat diisi dengan wahyu dari Al-Quran dan Al-Hadis.
“Inilah pengisian yang mahu kita tinggalkan sebagai legasi untuk umat pada masa akan datang, dalam usaha kita menempatkan Kedah sebagai negeri yang maju dan progresif.
“Malah rakyatnya berpegang teguh pada nilai-nilai agama dan mengamalkan budaya hidup yang berhemah dan bermoral tinggi,” tambah beliau.
Sanusi berkata demikian ketika merasmian Majlis Konvokesyen Akademi Darul Ilmi (ADI) di Dewan Utama ADI, kelmarin, di mana seramai 18 graduan berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran berserta syahadah, dalam tempoh dua tahun.
Berikutan itu, beliau berpesan khususnya kepada insan yang dipilih Allah berjaya menghafal 30 juzul Al-Quran di dada, agar menjadikan diri masing-masing sebagai penyambung lidah para Nabi membawa ayat-ayat suci kalamullah hinggalah dunia ini terhenti putarannya nanti.
“Jagalah diri kalian semua dengan sebaik-baiknya. Jagalah martabat kesucian ayat-ayat yang ada dalam diri kalian, mengatasi apa jua pun yang kalian miliki.
“Jangan cemarkan ia dengan akhlak dan tingkah laku yang tidak sepadan dengan kemuliaannya, dan jadikanlah ia sebagai asbab kebaikan dan teladan kepada masyarakat,” pesan beliau.
Majlis tersebut turut dihadiri, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Penerangan dan Komunikasi, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat dan Pengerusi Akademi Darul Ilmi , Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub.
Termasuk Pegawai Daerah Kuala Muda, Azmin Zainol Abidin, Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Sheikh Ahmad Muzammil Yub dan Naib Canselor, UniSHAMS, Prof Dr Mohd Amy Azhar Mohd Harif.
Dalam pada itu, kejayaan yang diraih pesannya, jangan hanya sekadar untuk mencipta nama atau gelaran.
Sebaliknya ujar beliau, jadilah seorang hafiz yang benar-benar muttaqin dengan hafalannya sehingga dapat melahirkan lebih ramai huffaz di bumi Kedah ini pada masa hadapan.
“Mudah-mudahan Kedah Darul Aman akan menjadi sebuah negeri yang subur dengan institusi-institusi tahfiz yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
“Kepada para guru terutamanya guru-guru di bahagian Al-Quran, tanpa keikhlasan, kesungguhan, dan komitmen anda semua, tiadalah kejayaan yang mampu diraih oleh pelajar. Guru ibarat pelita, menerangi jalan dalam kegelapan.
“Semoga kewujudan Akademi Darul Ilmi ini akan terus menunjukkan kesan positif ke arah usaha melahirkan insan cemerlang di dunia dan akhirat,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2025












