Titah agar junjung prinsip keadilan dan kelestarian

- Advertisement -

PADANG BESAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyeru agar semua pihak terus menjunjung prinsip keadilan, keutuhan pentadbiran serta kelestarian alam sekitar dalam merangka dasar dan pelaksanaan tindakan di semua peringkat.

- Advertisement -

Titah baginda, rakyat Perlis diseru memperkukuh nilai murni, memperkasakan institusi kekeluargaan, mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta terus memelihara keharmonian yang telah lama dibina bersama.

“Negeri kecil ini mempunyai potensi besar jika diterajui dengan keikhlasan dan wawasan yang tinggi. Biarlah Perlis terus dikenali bukan sahaja sebagai negeri yang aman, tetapi juga sebagai negeri yang bijak mengimbangi kemajuan.

“(Iaitu) dengan warisan, moden dengan nilai dan pembangunan dengan kesejahteraan,” titah baginda ketika merasmikan mercu tanda sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda sebagai Raja Perlis dalam satu majlis di Padang Besar, malam kelmarin.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Sambutan 25 tahun pemerintahan baginda berlangsung selama setahun bermula 17 April 2025 hingga 16 April 2026 dan telah dimulakan dengan Majlis Santapan Diraja di Istana Arau, Khamis lalu.

Menurut baginda, tempoh pemerintahan selama 25 tahun menyaksikan pelbagai cabaran dan kejayaan yang ditempuh bersama rakyat serta kerajaan.

“Segala pencapaian ini bukan hasil usaha individu, tetapi berkat kerjasama erat antara rakyat dan kerajaan serta sokongan padu semua pihak,” titah Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda turut menzahirkan rasa syukur atas kemajuan beransur-ansur yang dicapai dalam pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi, infrastruktur, pendidikan dan perpaduan masyarakat.

Mengulas mengenai mercu tanda yang dirasmikan, baginda menyifatkannya sebagai simbol keutuhan, kesepaduan dan kecintaan rakyat kepada negeri Perlis.

“Semoga ia menjadi tempat menyatukan kenangan, membina harapan dan membakar semangat generasi akan datang untuk terus menyumbang kepada negeri ini dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan kasih dan penghargaan kepada seluruh rakyat Perlis yang terus menjunjung tinggi institusi Raja serta menunjukkan kesetiaan, keikhlasan dan rasa hormat yang amat dihargai baginda. – HARAKAHDAILY 26/4/2025

- Advertisement -