Pusat mengundi ditutup, proses kira undi bermula

- Advertisement -

TAPAH: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning tamat selepas kesemua 18 pusat pengundian dengan 63 saluran ditutup pada jam 6 petang.

- Advertisement -

Satu pusat pengundian iaitu di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang hanya mempunyai satu saluran walau bagaimanapun ditutup lebih awal iaitu pada 4 petang.

Proses pengundian yang bermula pada 8 pagi tadi berlangsung dalam keadaan cuaca baik, selain lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Dewan Merdeka dengan keputusan rasmi dijangka diperoleh sekitar 9 malam ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Ayer Kuning sebanyak 54.01 peratus setakat jam 4 petang tadi.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS. – HARAKAHDAILY 26/4/2025

- Advertisement -