Kelantan akan teruskan Tuisyen Rakyat Sejahtera

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan meneruskan Tuisyen Rakyat Sejahtera (TRS) membabitkan semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kata Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri itu berkata, keputusan tersebut dibuat berikutan kejayaan yang dicapai pada penganjuran pertama tahun ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kubor itu, tuisyen berkenaan bukan hanya untuk pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) sahaja.

Bagaimanapun, ia turut melibatkan pelajar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi pelajar yang akan menduduki SPM tahun ini.

“Tuisyen ini bermula tahun lalu di semua 45 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan penyertaan 1,350 calon SPM. Selepas pertemuan bersama pentadbir sekolah didapati sambutan yang diterima di luar jangkaan.

“Ia berjaya mengangkat pencapaian lebih baik tahun ini,” katanya selepas pengumuman keputusan SPM di Kompleks YIK Tunjong dekat sini, kelmarin.

Menurut Wan Roslan, kerajaan meluluskan peruntukan hampir RM500,000 membabitkan RM10,600 untuk satu DUN.

Tambahnya kerajaan negeri bersedia menyalurkan sumbngan tersebut  kerana mahu program berkenaan menjadi ikon melahirkan lebih ramai pelajar cemerlang dalam SPM.

Beliau berkata, penyertaan guru yang pakar dalam mata pelajaran juga antara faktor peningkatan peratusan kejayaan SPM.

“Tuisyen Rakyat Sejahtera dilaksanakan selama dua bulan secara intensif bermula Oktober hanya pada hari minggu sahaja iaitu Jumaat dan Sabtu.

“Jumlah jam pembelajaran dilaksanakan secara fleksibel bergantung pada pengurusan pihak DUN mengikut keutamaan pelajaran dan keselesaan pelajar,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, masa yang telah diambil untuk kelas tuisyen itu tahun lepas tidak kurang dari dua jam. – HARAKAHDAILY 26/4/2025

- Advertisement -