Peluang untuk masa depan Islam

- Advertisement -

BACAAN politik saya, mungkin tahun depan Parlimen akan dibubarkan. Mungkin di awal tahun. Arus rakyat semakin menolak PH. Dulu mungkin ramai yang terpersona, hari ini, ramai sudah melihat siapa sebenarnya Anwar Ibrahim. Kalau ditanya, berikan satu sahaja janji yang ditunaikan? Tiada jawapan.

Bahkan, dalam negara ini, kita melihat banyak perkara pelik yang berlaku. Rakyat semakin bingung. Ini tanda bahawa kita mesti mula bersedia dari sekarang.

Lihat wajah bekas Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak ketika hadir memberikan penghormatan terakhir ke atas Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, walau diiringi pegawai dari Jabatan Penjara, namun kelihatan tenang. Bandingkan dengan keadaan Perdana Menteri sekarang. Ternyata kelihatan banyak kegelisahan.

Ini semua adalah peluang. Peluang untuk masa depan Islam. Peluang yang dahulu hanya sebahagian kecil yang yakin, kini dibuka luas di hadapan mata. Di Perak sendiri, PAS sudah menguasai 26 kerusi bersama kawan-kawan kita dari hanya 3 kerusi sebelum ini. Memerlukan hanya 4 kerusi sahaja lagi.

- Advertisement -

Terima kasih di atas jemputan sebagai perasmi Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Kangsar pada malam ini.

Apabila kita membuka lembaran sejarah hijrah Rasulullah SAW, kita melihat bahawa kejayaan besar itu tidak datang begitu sahaja. Di sebalik hijrah, ada peranan anak-anak muda. Saidina Ali, remaja belasan tahun, sanggup mempertaruhkan nyawanya tidur di atas katil Nabi. Mus’ab bin Umair, pemuda tampan yang meninggalkan segala kemewahan, membawa cahaya Islam ke Madinah. Asma’ Abu Bakar, gadis muda yang digelar ‘Zatun-Nitaqain’, yang mengikat bekalan hijrah dengan tali pinggang dari kainnya sendiri.

Anak muda jugalah yang membentuk barisan awal pertahanan di Madinah. Mereka membentuk pasukan kecil yang akhirnya berkembang menjadi kekuatan besar. Mereka jugalah yang bersama Nabi menghadapi gerakan riddah selepas kewafatan Baginda, menentang nabi-nabi palsu yang muncul. Abu Bakar, dengan tegasnya, mengumpulkan pemuda-pemuda inilah untuk mempertahankan akidah umat.

Ketika PAS diasaskan lebih tujuh puluh tahun lalu, tidak ramai yang percaya parti ini akan mampu bertahan begitu lama. Orang-orang terdahulu berjuang dengan penuh keyakinan, walaupun mereka sendiri tidak sempat menyaksikan hasilnya. Namun hari ini, di zaman kita, Allah dengan limpah rahmat-Nya mengizinkan kita melihat kejayaan itu. Kita melihat kerusi kita semakin bertambah. Kita menyaksikan semakin banyak negeri yang Allah amanahkan kepada perjuangan ini. Kita juga melihat rakyat semakin ramai yang menyertai dan mendukung jalan ini dengan penuh harapan.

Janganlah kita terperangkap dalam perdebatan mengenai siapa calon Perdana Menteri daripada gabungan PN. Andai ditanya kepada PH sendiri, siapa yang akan menggantikan Anwar selepas ini, nescaya mereka pun belum punya jawapan yang jelas. Dalam PN, sesiapa sahaja yang Allah pilih, layak untuk memikul amanah tersebut. Yang jauh lebih penting ialah membina keyakinan rakyat terhadap kekuatan dan kesepaduan gabungan kita.

Isu kebebasan bersuara hari ini menunjukkan bahawa tembok PH sedang retak dari dalam. Pempengaruh tidak seharusnya disiasat hanya kerana membuat cabaran untuk membuat carian latar belakang. Ramai yang sedang bercakap.

Tugas kita adalah membuktikan PAS benar-benar bersedia untuk menjadi kerajaan. Bukan sahaja bersedia, bahkan layak dijadikan menantu, kalau mahu diibaratkan. Tetapi syaratnya, pemuda mesti ada ilmu. Mesti ada asas agama. Parti kita parti Islam. Bukan semua perlu jadi ustaz. Tapi mesti mampu bercakap mengenai ekonomi, undang-undang, sains, pendidikan, sosial, semua daripada pandangan Islam. Dengan jiwa Islam. Dengan pandangan dunia Islam. Islamic Worldview.

Pemuda mesti ada identiti. Penampilan tersendiri. Ada citra, ada gaya, ada wajahnya yang berwibawa.

Dalam membina negara ini, kita juga perlu bijaksana dengan semua bangsa. Ada kawan-kawan Cina yang sebenarnya tidak suka dengan PH dan BN. Mereka kritik, mereka kecewa. Kita buktikan PAS mampu menjadi tempat bergantung semua rakyat.

Sewaktu pandemik melanda, PN telah menunjukkan prestasi terbaik dalam menguruskan negara. Rakyat tahu siapa yang bekerja dan siapa yang hanya pandai berjanji.

Isu-isu yang ada sekarang umpama peluru. Tapi kita lemah. Kita tidak kritik. Kita tidak bersuara. Sebab itu rakyat rasa seolah-olah tiada siapa peduli. Kita perlu kembali menjadi suara rakyat. Buktikan kita layak menggantikan kerajaan ini.

Dan ingatlah, kerja dakwah ini bukan kerja bermusim. Bukan untuk setahun dua. Ini kerja sepanjang hayat.

DATO’ SRI AMAR D’RAJA MOHD AMAR ABDULLAH
Naib Presiden PAS – HARAKAHDAILY 26/4/2025

- Advertisement -