
TAPAH: Tiga calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning bertembung secara kebetulan ketika bertemu dengan pengundi di Sekolah Kebangsaan Sungai Lesong sekitar 9:15 pagi.
Calon PERIKATAN NASIONAL, Ustaz Abdul Muhaimin Malek dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir dan calon PSM, Bawani KS sempat meluangkan masa seketika di situ.
Ketiga-tiga mereka kemudiannya berkesempatan mengambil gambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti beramah mesra dengan pengundi yang hadir di pusat pengundian berkenaan.
Mengiringi Ustaz Muhaimin ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib.
Terdahulu, sebanyak 19 pusat mengundi membabitkan 63 saluran mula dibuka jam 8 pagi hingga 6 petang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Ia melibatkan sejumlah 31,315 pengundi berdaftar yang dijangka akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung. – HARAKAHDAILY 26/4/2025











