
KEMAMAN: Demi kasih sayang dan tanggungjawab terhadap ibu tercinta, dua beradik di Kampung Lubuk Lesung, Kijal sanggup melepaskan pekerjaan masing-masing untuk menjaga ibu mereka, Rosila Noor, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.
Rosila, seorang ibu tunggal, kini bergantung sepenuhnya kepada anak-anaknya selepas disahkan menghidap penyakit kronik tersebut.
Anak ketiga, Nor Ain Natasha Maae, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Shah Alam, mengambil keputusan pulang ke kampung untuk menjaga ibunya, khususnya semasa menjalani rawatan hemodialisis di hospital.
“Saya tak sanggup tengok mak tanggung semua ini seorang diri. Saya ambil keputusan berhenti kerja walaupun kami tak ada pendapatan tetap,” katanya.
Menurutnya, hanya anak perempuan dibenarkan menemani pesakit semasa rawatan, justeru dia mengambil peranan menjaga ibunya sepenuh masa.
Anak sulung, Ikram Nizam Maae, 29, turut mengambil langkah sama dengan berhenti kerja sebagai pekerja pasar raya di Kemaman bagi membantu urusan di rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Amirudin Zakaria berkata, keluarga itu turut menanggung tiga lagi adik-beradik yang masih di alam persekolahan dan pengajian tinggi.
“Seorang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), seorang di Kolej Matrikulasi Gambang dan seorang lagi di tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kijal.
“Pihak JPKK Lubuk Lesung akan terus memantau keadaan keluarga ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” katanya ketika Program Ziarah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, semalam. (Foto atas) – HARAKAHDAILY 24/4/2025











