
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis bakal mengambil langkah berani mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape demi melindungi akhlak dan kesihatan generasi muda, susulan peningkatan kes penyalahgunaan peranti itu dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, langkah tersebut sedang diperhalusi dan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Mufti Negeri bagi mendapatkan pandangan hukum syarak sebelum pelaksanaan sepenuhnya dibuat.
“Kita melihat isu vape ini semakin membimbangkan, apatah lagi apabila pelajar seawal usia tingkatan dua dan tiga sudah terjebak.
“Ini bukan sekadar isu kesihatan, tetapi soal keselamatan dan masa depan anak bangsa,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.
Dalam tempoh lima bulan, dua insiden mengejutkan telah berlaku seorang pelajar cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai khayal akibat vape, manakala seorang lagi diserang sawan dan berbuih mulut selepas menghisap vape di dalam tandas sekolah.
Tambah beliau, kerajaan negeri juga memandang serius penjualan vape secara dalam talian yang sukar dikawal, dan menyeru campur tangan Kerajaan Persekutuan bagi menyekat penjualan tersebut.
“Perlis bersedia ke hadapan dalam isu ini, namun jika penjualan masih berlaku secara terbuka di internet, usaha kita tidak akan berjaya tanpa kerjasama pihak pusat,” tegas beliau.
Sementara itu, Presiden Majlis Belia Negeri (MBN) Perlis, Mohd Jeffry Mohd Hassan berkata, belia kini terdedah kepada bahaya dadah melalui vape, bahkan ada peranti dijual dengan bahan terlarang yang boleh merosakkan otak dan tubuh dalam jangka panjang.
“MBN bersama rakan strategik akan bergerak ke hadapan dengan kempen kesedaran dan tindakan proaktif demi menyelamatkan anak muda dari terus hanyut,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Negeri, Puan Rose Aza Che Arifin memaklumkan siasatan awal kes pelajar yang diserang sawan kelmarin menunjukkan tiada bahan dadah dikesan dalam vape, namun pelajar tersebut memang memiliki rekod penyakit tersebut.
“Kami masih meneruskan siasatan dalaman dan bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dan keluarga pelajar,” katanya.
Sehingga kini, Johor merupakan satu-satunya negeri yang secara rasmi mengharamkan penjualan dan penggunaan vape sejak 1 Januari 2016, manakala Selangor dilaporkan masih dalam perbincangan bersama Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











