
TAPAH: Ahli Parlimen Jerantut, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin mempersoalkan kegagalan kerajaan memerintah mengesan isu pencemaran serius membabitkan sisa buangan babi di Ayer Kuning, walaupun telah memerintah sejak November 2022.
Katanya, isu itu seharusnya dikenal pasti dan ditangani lebih awal oleh kerajaan yang mempunyai semua jentera penguatkuasaan, bukannya menunggu pembangkang mendedahkannya kepada umum.
“Persoalan yang kita patut utarakan, kenapa setelah dua tahun lima bulan bermula daripada November 2022 sehingga kini, kerajaan yang memerintah iaitu Kerajaan UmDAP ini tidak menjumpai kes sebegini?
“Kenapa perlu mengharapkan pembangkang untuk dedahkan semua kes-kes salah guna ataupun kes-kes berprofil tinggi sebegini?
“Sewajarnya kerajaan memerintah yang ada semua jentera kerajaan di bawahnya meneliti segala aduan dan mengambil tindakan kepada mereka yang melaksanakan perkara tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata demikian ketika mengulas situasi semasa menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning dan menyatakan kempen PERIKATAN NASIONAL (PN) mendapat sambutan positif.
“Alhamdulillah, calon kita diterima oleh rakyat dan jentera juga, apabila kita melakukan kempen rumah ke rumah dan pelbagai strategi kempen lain mendapat reaksi positif daripada rakyat di Ayer Kuning ini. Alhamdulillah,” katanya.
Masalah sebenar kelemahan kerajaan
Khairil Nizam turut menegaskan masalah sebenar bukanlah kurangnya kesedaran rakyat terhadap isu pencemaran, tetapi kelemahan kerajaan dalam memastikan persekitaran yang bersih dan selamat.
“Saya tak nampak masalah ‘awareness’ tentang pencemaran ini sebab kita diajar dalam silibus pembelajaran kita. Saya rasa yang masalahnya ialah kerajaan yang memerintah.
“Di manakah ‘awareness’ untuk memastikan rakyat mendapat persekitaran yang baik tanpa sebarang pencemaran, apatah lagi pencemaran berprofil tinggi yang berkait dengan pembuangan sisa babi yang tidak terkawal ke sungai.
“Isu ini juga berlaku dengan hebat di Pulau Pinang, di mana Kerajaan UmDAP, Kerajaan PH memerintah. Ia juga berlaku di Selangor apabila berlaku pembuangan sisa banyak daripada kilang-kilang.
“Jadi sewajarnya tindakan diambil oleh pihak yang terbabit untuk memastikan perkara ini tidak berlaku kerana ia memberikan kezaliman kepada rakyat,” katanya.
Efluen dibuang tidak terkawal ke sungai?
Mengulas keadaan pencemaran di kawasan terbabit, beliau mempersoalkan tindakan pihak terbabit membebasan efluen secara terbuka ke sungai.
“Saya nampak ‘piping’ yang hubungkan di antara tasik-tasik pembuangan tersebut, dari sudut ‘repair’ nya ia merupakan ‘repair’ yang ‘sub-standardx. Itu yang pertama.
“Kedua, paip PVC ni murah je, kalau nampak bocor tukar je. Tapi yang menjadi kerisauan kita, kenapa boleh berlaku pembebasan efluen secara terbuka ke sungai?
“Kalaupun kita letak ‘piping’ yang berstandard tinggi seperti HDPE ‘pipes’ bagi menggantikan PVC, itu bukan isu asasnya. Isunya ialah kenapa berlakunya pembuangan efluen yang tidak terkawal ke sungai. Efluen daripada babi ini merupakan perkara yang amat jijik.
“Ia melibatkan masalah serius dari sudut najis dalam Islam. Jadi perkara ini perlu diteliti oleh pihak-pihak terbabit, khususnya kerajaan negeri Perak,” katanya.
Perlu ambil serius penguatkuasaan
Khairil Nizam turut menegaskan pentingnya penguatkuasaan yang adil dan menyeluruh serta menyeru kerajaan negeri melihat isu ini dengan lebih serius sempena PRK ini.
“Penegasan saya adalah kepada penguatkuasaan pihak berkuasa. Ini masalahnya apabila berlaku penguatkuasaan terpilih. Kerajaan Perak sepatutnya bersyukur kerana dalam keadaan PRK Ayer Kuning ini, calon kita dan jentera kita daripada Perikatan Nasional bawa isu ini ke atas.
“Sewajarnya pihak kerajaan mengambil cabaran untuk meneliti aduan ini dan membawanya ke peringkat lebih tinggi dengan penguatkuasaan yang lebih cemerlang dan terbaik kepada apa yang berlaku.
“Kami harapkan biarlah efluen itu tidak dibuang ke sungai, biar ia diurus secara tertutup oleh kilang khinzir tersebut,” katanya.
Lokasi ladang babi di kawasan majoriti Melayu
Mengenai kedudukan ladang khinzir yang didakwa terletak di kawasan majoriti Melayu, beliau berkata penjelasan dan rasional pemilihan lokasi perlu diberikan kepada rakyat.
“Kita tidak menafikan hak golongan bukan Bumiputera khususnya Cina untuk membela babi. Tapi persoalannya, mana tempat yang sesuai untuk kita laksanakan?
“Pemeliharaan babi ini sepatutnya dibuat pengurusan efluen secara tertutup, pada jarak yang ditetapkan oleh pihak berkuasa dan di tempat yang jauh daripada rakyat.
“Walaupun di sini majoritinya Melayu, mungkin ini ‘spot’ yang lebih sesuai. Tapi persoalannya kenapa pengurusannya tidak dikawal selia dengan baik?
“Kilang-kilang ini sepatutnya jadi pengajaran kepada kerajaan negeri untuk nyatakan kepada rakyat jumlah sebenar dan kenapa kilang-kilang ini diletakkan di kawasan majoriti Melayu,” katanya.
Calon PN angkat suara rakyat
Beliau turut memuji calon PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning, Ustaz Abdul Muhaimin Malek yang disifatkan berpotensi membawa suara rakyat ke Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Kalau beliau dinobatkan sebagai ADUN di Ayer Kuning ini, dia akan membawa suara rakyat seperti mana yang kita suarakan sekarang.
“Yang paling penting ialah pakatan pembangkang PERIKATAN NASIONAL di Perak ini telah membuktikan mereka merupakan blok pembangkang yang sangat efektif, yang mampu menjuarai isu-isu rakyat untuk kebaikan rakyat di Perak secara umumnya dan di Ayer Kuning secara khususnya.
“Jadi kalau diberikan undi kepada calon PERIKATAN NASIONAL, khususnya kepada Ustaz Muhaimin, saya pasti insya-Allah beliau akan membawa suara rakyat Ayer Kuning dengan lebih cemerlang dan efisien di Dewan Undangan Negeri Perak,” katanya.
Isyarat perubahan kepada kerajaan sedia ada
Khairil Nizam turut mengingatkan pengundi mengenai kewajipan keluar mengundi demi masa depan negeri dan negara.
“Mengundi ini satu kewajipan dalam Islam. Ini telah dibahaskan oleh semua termasuk mufti. Ia juga satu kewajipan sebagai rakyat yang baik. Kita mesti bertanggungjawab dan prihatin untuk membuang undi.
“Kita tahu ramai anak muda struggling untuk balik mengundi. Saya sarankan kerajaan memberikan token kepada rakyat yang bertanggungjawab ini. Ini masa depan kita dan anak-anak muda kita.
“Kalau kita dapat melakukan satu perubahan yakni meletakkan Ustaz Muhaimin, ia memberi signal yang baik kepada kerajaan memerintah sekarang supaya lebih efisien.
“Kalau isu kilang babi pun tak dapat diurus, bagaimana nak urus negeri Perak yang bertuah ini?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kemenangan adalah ketetapan Allah SWT, namun usaha perlu dilakukan sebaiknya.
“Pertamanya kemenangan datang daripada Allah. Tugas kita adalah berusaha. Keduanya, apa jua ketetapan pada hari Sabtu nanti, ia juga datang daripada Allah. Menang, kalah, yang penting kita berusaha membawa suara rakyat ke tempatnya.
“Ketiganya, di sinilah datangnya kepentingan jentera. Di mana jentera PN antara PAS, Bersatu dan Gerakan merupakan ketumbukan yang kuat.
“Kita bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menangkan Ustaz Muhaimin. Sama ada beliau menang atau sebaliknya, kita serahkan kepada kebijaksanaan rakyat dan kepada iradah Allah SWT,” katanya. – *HARAKAHDAILY 24/4/2025*











