
TAPAH: Menteri Besar, Dato’ Seri Saarani Mohamad disifatkan sebagai amat memalukan kerana gagal untuk memahami isu pendedahan pencemaran Sungai Bidor yang diakibatkan pelepasan efluen dari ladang babi.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad berkata, jawapan yang diberikan Menteri Besar itu juga gagal menjawab persoalan mengenai pelepasan efluen dari sisa kumbahan najis ladang babi yang disalurkan terus ke Sungai Bidor.
“Adakah ia prosedur yang dibenarkan oleh Enakmen Pengawalan Penternakan Babi 1992? Menteri Besar Perak gagal menjawab adakah ladang itu berlesen dan kedudukan 140 meter dari penempatan terdekat majoriti Melayu Islam diluluskan oleh Kerajaan Negeri?
“Menteri Besar juga sindir kata ladang itu di luar DUN (Dewan Undangan Negeri) Ayer Kuning. Saya nak tanya Menteri Besar adakah dia Menteri Besar untuk DUN Ayer Kuning sahaja?
“Sekiranya pencemaran ini berlaku diluar DUN Ayer Kuning, adakah tidak mengapa?” bidas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk PERIKATAN NASIONAL (PN) PRK N.48 DUN Ayer Kuning dalam satu kenyataan.
Tambah Ahli Parlimen Bagan Serai itu, lokasi kejadian adalah di sempadan DUN Ayer Kuning, namun air Sungai Bidor dikatakan mengalir masuk ke dalam DUN Ayer Kuning dan menjadi sumber air kedua dan rekreasi majoriti penduduk.
“Saya agak malu dengan jawapan yang diberikan oleh Menteri Besar Perak ini kerana ia membuktikan bahawa dia gagal memahami masalah yang dihadapi oleh rakyat DUN Ayer Kuning,” tempelaknya.
Terdahulu, Saarani semalam mendakwa isu berhubung kesucian air sungai yang dikaitkan dengan pencemaran dari ladang ternakan babi harus diserahkan kepada pihak berautoriti untuk disiasat, termasuk Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
“Kalau nak tahu betul atau tidak (tercemar), biar jabatan kerajaan yang bertanggungjawab jalankan siasatan.
“Begitu juga kalau nak uji air itu cukup syarat atau tidak untuk ambil wuduk, biar Jabatan Agama Islam yang nilai, bukan ahli politik,” dakwanya. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











