‘Tak mahu hasil negeri hilang sebab maklumat palsu’

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengingatkan pemohon tanah kerajaan agar bersikap jujur ketika mengisi borang permohonan tanah dan elakkan penipuan.

- Advertisement -

Kata beliau, pihaknya mengesan trend segelintir pemohon yang sengaja meletakkan nama isteri yang tidak bekerja atau berpendapatan rendah bagi tujuan mendapatkan kadar premium tanah lebih murah.

“Kerajaan negeri akan memantau hal ini bagi mengelak kehilangan hasil negeri akibat penipuan maklumat oleh pemohon yang tidak jujur,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Sanusi mengulas hal tersebut bagi menjawab pertanyaan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) yang bertanyakan berkenaan kutipan hasil bagi tahun 2024.

Menurutnya, pejabat tanah akan menjalankan siasatan terhadap setiap permohonan, termasuk menilai semula kelayakan pemohon secara terperinci.

Perkara itu ujarnya, bagi memastikan hanya golongan benar-benar layak sahaja menerima manfaat tersebut.

“Pemohon kena jujur. Kalau orang miskin mohon tanah, RM10 pun kita boleh bagi. Tapi bila orang kaya buat-buat susah, itulah yang jadi masalah.

“Kita tak mahu hasil negeri hilang sebab maklumat palsu. Ada kontraktor duit berkepok (banyak), tapi letak nama isteri suri rumah sebagai pemohon.

“Kita tahulah tujuannya untuk letakkan pendapatan bawah RM1,700 supaya layak terima premium tanah rendah,” ujar beliau.

Penipuan seperti itu jelasnya, boleh merugikan kerajaan negeri apabila tanah tersebut dijual atau digadai selepas tempoh pegangan selama 10 tahun.

Tambah beliau, permohonan tanah kerajaan kini semakin berkurangan kerana banyak kawasan telah pun dimiliki atau diberikan melalui pajakan.

“Ada yang bayar premium RM5,000, lepas 10 tahun nilai tanah boleh cecah ratusan ribu. Itu tak adil kepada negeri.

“Penilaian ini dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) sebagai agensi yang diberi mandat menilai kadar sebenar premium tanah,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

- Advertisement -