
KOTA BHARU: Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Sungai Golok akan dilaksanakan secara keseluruhan, bukan lagi berfasa sebagaimana diumumkan sebelum ini, kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Pada sesi penggulungan di siding Dewan Undangan Negeri hari ini, beliau berkata, ia merupakan natijah hubungan baik antara negeri dan persekutuan.
“Sukacita dimaklumkan bahawa kerajaan persekutuan setuju untuk meluluskan pembinaan PLSB dengan seberapa segera secara sekali gus, tanpa perlu mengikut turutan atau fasal pembinaan.
“Alhamdulillah, saya ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim,” katanya menjawab persoalan dibangkitkan Rozi Muhammad (PN-Tendong) pada sesi perbahasan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu turut menjelaskan kerja pembinaan PLSB Sungai Golok Rantau Panjang dekat sini akan siap dua tahun lebih awal pada 2028 berbanding tempoh asal, 2030.
Beliau berkata keputusan tersebut mempercepatkan lagi proses pengurangkan kemusnahan akibat banjir yang berlaku saban tahun di pinggir Sungai Golok membabitkan jajahan Pasir Mas dan Tumpat.
“Insya-Allah pembinaan projek ini dapat dipendekkan lagi daripada tempoh asal akan siap pada 2030 kepada 2028 lebih cepat sekali gus mempercepatkan lagi langkah mitigasi banjir di kawasan berisiko.
“Kerajaan negeri amat menghargai sokongan kerajaan persekutuan dalam mempercepatkan kelulusan ini dengan menjamin kesejahteraan rakyat negeri Kelantan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/4/2025











