
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah telah memperuntukkan sejumlah dana yang besar setiap tahun bagi menyokong pengurusan Majlis Ketua Kampung (MKK) atas pelbagai tujuan, termasuklah pembangunan infrastruktur di kampung termasuk program kesejahteraan masyarakat khususnya di kampung-kampung.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, berkata, kursus tersebut juga melibatkan latihan kepada pengerusi dan setiausaha MKK agar mereka dapat menjalankan tugas dengan cekap serta berkesan.
“Kursus dan bengkel-bengkel yang diadakan kebanyakannya berkaitan dengan Kemahiran Pengurusan dan Pentadbiran. Kursus seumpama ini dapat membantu MKK untuk memahami dengan lebih mendalam berkenaan tugas, peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin di peringkat komuniti.
“Secara tidak langsung, dapat mengasah kemahiran pengurusan dan kepimpinan agar lebih efektif berkualiti dan berkaliber. Melalui kursus dan bengkel yang disertai ini, MKK dapat meningkatkan keberkesanan dalam melaksanakan tugas sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat,” jelasnya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Shamsilah Siru (PN-Ayer Hangat) yang inginkan penjelasan berkenaan kursus yang dianjur oleh kerajaan negeri bagi memantapkan tugasan jawatankuasa MKK agar peranan mereka sebagai orang tengah kerajaan dan rakyat, termasuk peruntukan dana yang diluluskan untuk pengurusan institusi berkenaan.
Tambah ADUN Merbau Pula itu lagi, Bengkel Kemahiran Pengurusan dan Pentadbiran yang diadakan secara tidak langsung dapat membantu MKK terutama mencetuskan idea-idea kreatif dan inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat kampung masing-masing.
Selain itu, MKK juga katanya turut didedahkan dengan kursus dan taklimat berkenaan Pengurusan Bencana dan Keselamatan Persekitaran.
“Kursus sebegini membantu MKK untuk memahami dengan lebih mendalam berkenaan prosedur pengurusan bencana di peringkat daerah. Secara tidak langsung, MKK selaku wakil kepada masyarakat di kampung, dapat menyalurkan maklumat atau info yang tepat sekiranya berlaku sebarang bencana agar tiada masyarakat kampung yang keciciran terutama dari aspek keselamatan dan bantuan yang diperlukan oleh mereka yang terlibat dengan tragedi bencana,” tambahnya lagi.
Malah kata beliau, tidak di situ sahaja, MKK juga didedahkan dengan langkah-langkah persiapan dan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan situasi kemungkinan bencana yang tidak menentu.
“Pengukuhan peranan MKK dapat membantu agar penyaluran maklumat, masalah dan aduan masyarakat agar disalurkan dengan lebih cepat serta efisien kepada pihak kerajaan.
“Ini bagi memastikan komunikasi jenis ‘bottom up’ dapat dilakukan supaya masyarakat di peringkat kampung atau luar bandar, tidak berasa ketinggalan dan dipinggirkan dari segi suara serta keperluan mereka sebagai rakyat.
“MKK juga memainkan peranan utama sebagai agen dalam memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat untuk menjamin keharmonian sesebuah kampung kesejahteraannya,” jelas beliau.
MKK seluruh Kedah juga, jelasnya diberi pendedahan dan Kursus Asas Pengurusan Kewangan serta Manfaat Perlindungan Sosial oleh Kumpulan Wang Amanah Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), bagi membantu perancangan dan pengurusan kewangan yang lebih efektif serta memberi pulangan yang lebih baik pada masa hadapan. – HARAKAHDAILY 23/4/2025











