Kerja pembaikan kebocoran paip dasar laut bermula Ogos

Mohamad Yusoff@Munir Zakaria
- Advertisement -

ALOR SETAR: Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi pembaikan kebocoran paip bekalan air dasar laut yang merentangi tanah besar ke Langkawi.

- Advertisement -

Pembaikan jajaran paip sepanjang 36 kilometer itu bagi mengatasi gangguan bekalan air di pulau itu dianggarkan mencecah berbilion ringgit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan dan Sumber Air serta Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata, projek tersebut akan dikendalikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) bermula Ogos ini dan dijangka siap Februari tahun hadapan.

“Skop kerja adalah membekal dan memasang 19 unit ‘pressure steel clamp’ yang melibatkan 19 kebocoran secara memanjang, manakala paip berlubang akan dibuat pembaikan.

“Untuk tukar keseluruhan paip yang berusia hampir 30 tahun itu boleh mencecah berbilion ringgit, jadi buat masa ini kita belanja RM50 juta termasuk kos konsultan RM10 juta dan selebihnya kos pembaikan paip,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Mohamad Yusoff berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Teh Swee Leong (PH-Kota Darul Aman) berhubung kos untuk menukar keseluruhan paip dasar laut ke Langkawi tersebut.

Dalam pada itu, kata beliau, skop kerja seterusnya adalah membekal dan memasang enam unit ‘rubber patch stopper’ sebagai menghalang air keluar dari paip.

Dalam pada itu, jelasnya lagi, projek pembaikan itu dijangka dapat meminimumkan gangguan bekalan air yang dihadapi 3,500 akaun di pulau tersebut.

“Selama ini SADA menghantar bekalan air menggunakan lori serta pembinaan beberapa rumah pam untuk meningkatkan tekanan air untuk mengurangkan masalah air tidak berhasil (NRW),” tambah beliau.

Beliau juga memaklumkan, sejak SADA mengambil alih konsesi Taliworks Langkawi pada 1 November 2020, sebanyak 42 point kebocoran baharu telah dibaiki secara ‘in house’ dengan kaedah ‘underwater clamping’.

“Kos keseluruhan bagi kerja-kerja pembaikan dan pemeriksaan kebocoran baharu dan lama adalah sebanyak RM3.1 juta.

“Buat masa ini, kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan kebocoran dijalankan setiap dua minggu bergantung kepada cuaca dan keadaan laut,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

- Advertisement -