
ALOR SETAR: Masyarakat Cina, India, Siam dan lain-lain tidak pernah dianaktirikan oleh Kerajaan Negeri, sebaliknya pelbagai program termasuk bersifat keagamaan dilaksanakan di Kedah dalam keadaan aman serta harmoni.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Masyarakat Cina, India, Siam dan NGO, Wong Chia Zhen berkata, antara program dilaksanakan Kerajaan Negeri termasuklah sambutan Tahun Baru Cina, Pesta Songkran, Loy Kratong, Deepavali, Thaipusan dan Pesta Tanglung.
“Kerajaan Negeri juga komited memperuntukkan sumbangan kewangan kepada persatuan penganut serta pertubuhan bukan-Islam yang berdaftar atas penganjuran sambutan perayaan keagamaan dan kebudayaan sama ada di peringkat kawasan ataupun mukim.
“Ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri yang dipimpin Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sentiasa prihatin terhadap hal ehwal dan kebajikan pelbagai kaum tanpa sebarang dikriminasi,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Sulaiman (PN-Belantik) yang inginkan penjelasan berkenaan komitmen Kerajaan Negeri kepada program kaum Cina, India, Siam dan lain-lain serta impak ke atas kehidupan masyarakat berbilang kaum di Kedah.
Sementara tambah Chia Zhen, impak daripada komitmen Kerajaan Negeri itu yang agak ketara berkenaan perpaduan sesama kaum adalah contohnya program Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Negeri Kedah 2025 yang turut dihadiri Sultan Kedah, Tunku Mahkota Kedah dan Tunku Puan Mahkota Kedah.
“Majlis gilang-gemilang itu juga telah menarik perhatian ramai pengunjung bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina, malah dari kaum lain juga. Ini menunjukkan bahawa semangat perpaduan yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Kedah.
“Selain itu dengan penganjuran lebih banyak program-program sedemikian akan memberikan peluang kepada masyarakat majmuk di negeri ini untuk mempelajari keunikan sesuatu budaya masyarakat lain,”jelasnya lagi.
Sementara menjawab soalan tambahan berkenaan bantuan peruntukan, diajukan Ahmad, jelas Chia Zhen, peruntukan tahunan untuk program masyarakat bukan-Melayu di Kedah telah meningkat sejak negeri ini ditadbir Perikatan Nasional (PN).
Pada tahun 2021 kata beliau, peruntukan untuk masyarakat Cina, India dan Siam adalah berjumlah RM300,000, sementara bagi untuk 2022 meningkat ke RM450,000, sementara untuk tahun 2023 dan 2024 pula dinaikkan sebanyak RM90,000, menjadikan peruntukan itu berjumlah RM 540,000.
“Pada 2025 pula, peruntukan di bawah Peruntukan Sejahtera Kaum juga ditambah sebanyak RM90,000 menjadikan peruntukan berkenaan berjumlah RM600,000 dan ini menunjukkan peningkatan 100 peratus dalam tempoh empat tahun Kerajaan PN memerintah,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, kata Chia Zhen (PN-Kulim) itu lagi, pada perayaan Pesta Songkran baru-baru ini, Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah bantuan untuk menjayakan sambutan yang diadakan di Wat Thammasairivararam, Kampung Kura di Daerah Sik.
Kerajaan Negeri juga ulasnya lagi, meluluskan peruntukan kepada beberapa buah wat dan persatuan masyarakat Siam di Daerah Padang Terap, Baling dan Pendang.
“Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan peruntukan kepada masyarakat India dari pelbagai daerah bagi penganjuran sambutan Thaipusam di kawasan atau mukim masing-masing.
“Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri hari ini sentiasa menyokong dan menyambut baik hasrat persatuan, pemimpin kaum dan NGO dari kaum bukan-Melayu untuk menganjurkan program keagamaan atau kebudayaan yang dapat memupuk semangat perpaduan sesama penduduk serta merapatkan silaturrahim sesama mereka,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2025











