
ALOR SETAR: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri Kedah akan terus bekerjasama rapat dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk memastikan kejayaan pengurusan dan pembangunan kawasan pengeluaran padi utama di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani berkata, antara program sokongan ke arah pengukuhan pembangunan sektor padi adalah menerusi pelaksanaan projek pembangunan infrastruktur bagi menyokong program penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun fasa satu.
Di mana katanya, melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion dengan keluasan sekitar 11,000 hektar serta membabitkan 6,100 pesawah melalui MADA.
“Kedah akan terus kekal menjadi ‘Jelapang Padi Malaysia’ meskipun tiada sokongan daripada pihak Persekutuan dalam revolusi peningkatan hasil padi dengan menyumbang 41.2 peratus beras negara.
“Kerajaan Persekutuan secara umumnya masih bergantung kepada pengeluaran hasil padi di Kedah bagi memastikan kelangsungan keterjaminan makanan negara.
“Tetapi dengan mengambil ketidaktentuan faktor ekonomi dunia pada masa kini dan juga ‘Trade War’ yang berlaku di antara negara Amerika Syarikat dan China, negara ini perlu memastikan sekuriti makanan di negara ini terjamin.
“Usahasama bersama syarikat-syarikat swasta juga dirangka dalam membantu kerajaan negeri untuk meningkatkan pengeluaran hasil padi terutama pengeluaran benih padi yang bermutu tinggi serta dapat memberi peningkatan hasil,” jelas beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Abdul Ghafar Saad (PN-Guar Chempedak) yang inginkan penjelasan penanaman padi sebagai sumber pendapatan utama bagi sebahagian besar penduduk Kedah berikutan kemorosotan hasil padi setiap tahun.
Abdul Ghafar juga mohon pendirian Kedah adakah akan terus menjadi ‘Jelapang Padi Malaysia’ sekiranya tiada sokongan daripada pihak Persekutuan dalam revolusi peningkatan hasil padi.
Berikutan itu kata Dzowahir, Kerajaan Negeri juga telah merangka beberapa kerjasama dengan syarikat dari negara jiran iaitu Indonesia, untuk mewujudkan tapak kajian benih padi di Kedah.
Termasuk katanya, sokongan yang berterusan dari Kerajaan Persekutuan dalam bentuk peruntukan subsidi pengeluaran padi, pembajakan, baja, dan pembangunan infrastruktur pengairan bagi memastikan hasil padi terus meningkat.
“Di samping itu, Jabatan Pertanian Negeri Kedah yang merupakan agensi utama dalam pengurusan pertanian, memainkan peranan yang penting di luar kawasan Jelapang Padi dan terus menyediakan perkhidmatan pengembangan, latihan, dan insentif pembangkang untuk para petani di negeri ini.
“Sebagai contoh, pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), peruntukan sebanyak RM6,853,000 telah disediakan khusus bagi meningkatkan hasil padi. Di kawasan Jelapang pula, peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan diteruskan melalui agensi MADA untuk menyokong pembangunan dan pemodenan sektor pertanian,” jelasnya lagi.
Sementara menjawab soalan tambahan Muhamad Amri Wahab (PN-Derga) kata Dzowahir (PN-Suka Menanti) itu, pengeluaran benih padi yang sedang dirancang ketika ini masih di peringkat pemilihan jenis benih padi bersesuaian untuk digunakan para pesawah di negeri ini.
‘Pada lawatan kerja ke Pusat Kajian Organik Terpadu (PKPOT) di Malang, Indonesia baru-baru ini, pihak Kerajaan Negeri telah mengenal pasti beberapa jenis benih padi yang mempunyai kelebihan berbanding benih padi yang sedang digunakan kini.
“Benih padi dari dua jenis variety itu akan dibuat kajian lebih mendalam iaitu HMS700 dan HMS70D bagi dibuat penilaian daripada setiap aspek bagi melihat kesesuaian untuk ditanam di negeri ini.
“Selain itu, melalui kerjasama dengan Agensi Nuklear Kebangsaan dan juga Universiti Teknologi MARA (UITM) yang masih di peringkat kajian untuk mengembangkan benih padi sedia ada kepada beberapa ‘variety’ baharu yang akan dibuat kajian di tapak benih padi seluas 20.5 hektar di Kampung Sungai Mati, Tobiar, Pendang,” katanya lagi.
Pihak Malaysian NPK Fertilizer NAFAS ujarnya, juga membantu dalam penyaluran input tambahan pembaikan struktur tanah agar benih padi yang ditanam sesuai dan bermutu.
Dalam pada itu, beberapa usaha lain katanya juga sedang dirancang untuk menjadikan tanah-tanah terbiar iaitu 70 ekar di Tualang, Pokok Sena, 288 hektar di Kubang Sepat, Megat Dewa, Langkawi 28 hektar, termasuk kawasan penanaman benih padi yang disediakan oleh Jabatan Pertanian Negeri Kedah.
Dalam perkembangan yang sama, ujarnya, pihak China Agriculture Technology Institute dari Chongqing China juga ada menawarkan usahasama untuk membawa masuk ‘variety’ benih padi hybrid yang dipercayai mampu meningkatkan hasil padi sehingga 19 tan per hektar.
“Banyak negara pengeluar beras yang telah menggunapakai variety benih padi hybrid ini, yang terbukti dapat meningkatkan hasil padi seperti India, Vietnam, Thailand dan Myanmar,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/4/2025











