Gesa yuran SPM kepada calon SMAR dikecualikan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Penerangan dan Komunikasi, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat, memohon Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengecualikan bayaran pendaftaran calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Sekolah Agama Rakyat (SMAR) di Kedah.

- Advertisement -

Jelas beliau, pihaknya merujuk hal berkenaan kepada surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah bertarikh 9 April lalu, berkaitan pembayaran tersebut untuk tahun ini.

“Sebelum ini, institusi pendidikan yang mendaftar dengan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) telahpun mendapat pengecualian pendaftaran bayaran untuk peperiksaan awam tersebut.

“Tetapi surat terbaharu ini, bayaran itu tidak mengecualikannya dan perkara ini amat merisaukan pihak pentadbir sekolah dan para waris,” kata beliau pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Dato’ Azam berkata demikian bagi menjawab soalan Ustaz Salim Mahmood (PN-Bukit Lada) yang inginkan penjelasan sama ada bayaran pendaftaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu turut melibatkan calon-calon SPM SMAR di Kedah.

Dalam masa yang sama, Salim turut melahirkan rasa kebimbangan sekiranya perkara tersebut dilaksanakan, pastinya akan memberi kesan kepada para waris serta pihak sekolah yang semua pihak sedia maklum kebatasan kemampuan sekolah-sekolah tersebut.

Justeru kata Dato’ Azam (PN-Sungai Limau), pihaknya mengharapkan kerjasama dan jasa baik pihak KPM terutama menteri berkaitan  agar memberi pertimbangan sewajarnya berkaitan permohonan beliau.

Sementara, melalui surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, sebanyak 36 SMAR seluruh Kedah diarahkan membuat pembayaran pendaftaran SPM 2025 sebelum atau pada 5 Mei depan.

Bayaran itu melibatkan lebih 1,500 calon SPM di 36 SMAR di Kedah yang purata setiap sekolah perlu menjelaskan bayaran antara RM2,000 hingga RM20,000.

Pembayaran tersebut juga melibatkan calon Sekolah Swasta yang berdaftar dengan KPM dan calon persendirian, manakala calon SPM Sekolah Kerajaan, Sekolah Bantuan Kerajaan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dikecualikan.

Turut dikecualikan sekolah-sekolah di bawah agensi kerajaan selain KPM seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Maktab Tentera Diraja (MTD), Sekolah Perintis Tentera dan Sekolah Menengah Agama Negeri. 

Dalam perkembangan lain, Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakrurazi juga mempersoalkan perkara sama.

Katanya, sebelum ini, rakyat Malaysia berdegar-degar dimomokkan berkenaan pendidikan percuma, tetapi amat malang tiba-tiba yuran SPM SMAR yang tiada sebelum ini diadakan semula tahun ini.

“Macam mana nih..Letih para waris menghadapnya,” keluh beliau. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -