Akta 750 masih digunakan tanpa persetujuan negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri diminta agar mempertimbangkan semakan undang-undang terhadap pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) yang masih sah dan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

- Advertisement -

Dato’ Abdul Rahman Yunus (PAS-Pasir Tumboh) berkata, polemik tersebut menyebabkan Kelantan terus dinafikan haknya untuk menerima bayaran royalti Petroleum.

Beliau berkata keputusan menolak akta itu kerana ia menghadkan hak negeri menerokai sumber melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah negeri.

“Sebarang perubahan pengecilan sempadan memerlukan persetujuan negeri secara rasmi, sehubungan itu adalah wajar kita mempertimbangkan semakan undang-undang terhadap pemakaian akta ini.

“Ini bagi mempertahankan sempadan maritim dan hak negri seperti yang termaktub dalam Perjanjian Royalti Petroleum 1975 serta prinsip federalisma dalam Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kelantan antara negeri menolak pemakaian Akta 750 kerana mendapat Kerajaan Persekutuan menggunakan peluang menghadkan sempadan untuk menafikan hak royalti.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) itu turut menyentuh hubungan baik antara Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Biarpun ideologi politik berbeza antara negeri dan persekutuan kata beliau, ia tidak menjadi halangan kepada kerajaan negeri untuk merealisasikan hubungan tersebut bagi kesejahteraan rakyat.

“Hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan G2G tidak boleh berpisah, kita kena faham dan rakyat kena faham ini, kita kena sama-sama dia negeri dan Persekutuan ada bidang kuasa masing-masing.

“Sebab itulah pendekatan pimpinan kita untuk membantu rakyat Kelantan adalah satu langkah yang baik yang mesti diterima bahawa inilah pengisian sebenar selepas capai kemenangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025

- Advertisement -