
KOTA BHARU: Kerajaan negeri diminta melakukan pendekatan proaktif bagi memastikan penjawat awam di negeri ini beralih kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KSWP) simpanan syariah.
Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) berkata, Kelantan antara negeri yang mempunyai jumlah simpanan syariah tertinggi di Malaysia iaitu pada tahun lalu seramai 108,564.
Bagaimanapun kata beliau, pertukaran simpanan konvensional kepada syariah itu masih bersifat pilihan dan kesedaran individu masing-masing terhadap kepentingan dalam pengamalan nilai-nilai agama.
“Jumlah ini merangkumi lebih 36.27 peratus daripada jumlah ahli KWSP yang beragama Islam di negeri ini, ini merupakan kesedaran walaupun masih di peringkat sederhana kepentingan patuh syariah.
“Saya mencadangkan kerajaan negeri mengambil pendekat proaktif supaya semua penjawat awam mencarum KWSP di bawah kerajaan negeri beralih kepada simpanan syariah secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini hari ini.
Mantan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) itu turut menekankan pembangunan pertanian tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan besar negara terhadap bekalan yang diimport.
Malah kata beliau lagi, kerajaan negeri menetapkan agenda tersebut dalam Enakmen Kemajuan Pertanian Kelantan 2024 sebagai langkah memperkukuhkan sektor tersebut secara bersepadu dan lestari.
“Kita menyaksikan peningkatan harga makanan, kekurangan bahan mentah, kebergantung berlebihan import, maka sudah tiba masanya kita mengambil langkah berani pastikan setiap inci tanah dimanfaatkan.
“Sejauhmana pelaksanaan melalui arahan Jabatan Tanah dan Galian Negeri 2024 melaksanakan peruntukan enakmen ini secara menyeluruh termasuk mengenal pasti tanah yang tidak dibangunkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/4/2025











