Beri isyarat rakyat tak selesa dengan kerajaan sekarang

Tiada perubahan di Ayer Kuning di bawah wakil rakyat Umno

- Advertisement -

TAPAH: Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud mengajak pengundi di DUN Ayer Kuning agar menggunakan Pilihan Raya Kecil (PRK) ini untuk memberi isyarat kepada Kerajaan Negeri Perak terhadap ketidakselesaan mereka kepada pentadbiran sedia ada.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, meskipun PRK ini tidak akan mengubah tampuk pentadbiran negeri, undi kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) tetap penting sebagai lambang penzahiran suara rakyat.

- Advertisement -

“Oleh kerana itu saya mengajak semua pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning. Malam ini kita ceramah di Batu Tiga. Di Pasir Mas ada juga Batu Tiga. Saya ni orang Pasir Mas. Batu Tiga Pasir Mas ni daripada dulu lagi kubu kuat PAS.

“Jadi saya harap malam ini Batu Tiga Ayer Kuning ni kalau tak jadi kubu kuat PAS pun, tolonglah undi PERIKATAN NASIONAL. Tak masuk PAS pun tak apa. Tak masuk PERIKATAN NASIONAL pun tak apa.

“Undi PERIKATAN NASIONAL itu yang penting untuk kita memberi isyarat kepada Kerajaan Negeri Perak bahawa penduduk di DUN Ayer Kuning ini tidak selesa dengan apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam katanya dalam ceramah kelompok Unit Daerah Mengundi (UDM) Batu Tiga, malam tadi.

Dalam pada itu, Mohd Nassuruddin menjelaskan kepada penyokong Umno bahawa kedudukan Menteri Besar Perak tidak akan berubah walaupun mereka mengundi PN dalam PRK ini.

“Jadi orang Umno tak usah bimbang. Menteri Besar tak bertukar. Kerana keputusan pilihan raya kecil ini, Menteri Besar Perak tak akan bertukar. Tetap Menteri Besar yang ada sekarang ni. Ini saya bagitahu kepada orang yang nak kepada Menteri Besarlah.

“Jadi kalau dia undi PERIKATAN NASIONAL, Menteri Besar tak berubah. Tapi dalam masa yang sama, orang yang undi PERIKATAN NASIONAL boleh menyatakan ketidakselesaan mereka, menzahirkan ketidakselesaan mereka kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya.

Beliau turut menyentuh sejarah DUN Ayer Kuning sebagai kubu Umno, namun menyifatkan perubahan perlu dilakukan melihat kepada keadaan semasa.

“DUN Ayer Kuning ini memang milik Umno daripada dulu lagi. Tapi keadaannya macam nilah (tiada perubahan). Saya pun tak tahulah, saya tidak orang sini. Tapi dia kata macam inilah. Jadi kalau keadaan macam ni, baik undi PERIKATAN NASIONAL daripada undi Umno,” katanya.

Terdahulu, beliau memulakan ucapan dengan mengingatkan para hadirin mengenai kehidupan dunia yang bersifat sementara dan kepentingan akhirat.

“Firman Allahu Taala: Setiap yang bernyawa tetap akan mati. Dan kita tengok pun begitu. Tidak ada orang yang tak mati. Yang tak mati sekarang ni Nabi Isa, diangkat ke langit. Tetapi di akhir dunia Nabi Isa akan turun dan Nabi Isa juga akan mati.

“Tiap-tiap yang bernyawa tetap akan mati. Sesungguhnya balasan kepada amalan kamu akan dipersempurnakan pada hari kiamat kelak.

“Sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka berjayalah. Kehidupan dunia ini tidak lain melainkan keindahan yang memperdayakan manusia,” petiknya. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

- Advertisement -