
TAPAH: PRK N.48 DUN Air Kuning kini memasuki kempen fasa minggu kedua menyaksikan beberapa serangan politik tidak matang terhadap calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Ustaz Abdul Muhaimin Malek sengaja dimainkan pihak tertentu.
Pegawai Khas Sekretariat ADUN PAS Pulau Pinang, Steven Koh Tien Yew berkata, serangan seperti ini adalah petanda jelas bahawa ada pihak mula tergugat dengan aura serta penerimaan rakyat terhadap Ustaz Muhaimin di kawasan ini.
“Serangan sebegini menggambarkan ketakutan pihak lawan apabila melihat gelombang sokongan yang semakin meningkat terhadap calon kita. Mereka hilang modal dan memilih untuk menyerang peribadi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, pelbagai bentuk bantuan yang muncul secara tiba-tiba selepas pengumuman PRK, termasuk dana pembangunan bernilai RM6.13 juta, turut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat tentang keikhlasan sebenar kerajaan sedia ada.
Di peringkat akar umbi jelas Steven Koh, rakyat daripada pelbagai kaum menyuarakan kegusaran mereka terhadap keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin menekan.
“Apa yang lebih ketara adalah reaksi penolakan, terutama di kawasan Air Kuning sendiri. Kegagalan kerajaan dalam menunaikan janji dan mengurus tadbir dengan baik bakal dihukum oleh pengundi yang mahukan perubahan,” katanya.
Menurut beliau, PRK kali ini bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, tetapi medan penting untuk rakyat menyampaikan mesej kekecewaan terhadap kerajaan yang gagal membela nasib mereka.
“Saya yakin PRK Air Kuning ini akan menjadi platform buat rakyat meluahkan rasa hampa dan menunjukkan protes mereka secara demokratik melalui peti undi,” tegasnya.
PRK DUN Air Kuning diadakan susulan kekosongan kerusi selepas penyandangnya meninggal dunia bulan lalu. – HARAKAHDAILY 19/4/2025











