Pemuda PAN patut ajak Tok Mat sekali terjah ladang babi

Kontradik pengakuan Pemuda PAN Perak dengan penafian Timbalan Pengerusi BN

- Advertisement -

TAPAH: Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff menyindir Pemuda PAN Perak kerana tergesa-gesa ‘menyerang’ isu ladang babi di Ayer Kuning tanpa melibatkan Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan.

- Advertisement -

Lontarkan susulan Pemuda PAN Perak yang mengaku telah membuat tinjauan ke ladang babi berkenaan, hanya sehari selepas Mohamad atau ‘Tok Mat’ menafikan kewujudan penternakan di situ dengan berkata ia sekadar mainan sentimen pembangkang.

“Semalam Tok Mat mendakwa isu ladang babi hanyalah mainan sentimen pembangkang. Tiba-tiba hari ini Pemuda PAN Perak pula mengisytiharkan mereka telah turun meninjau ladang babi.

“Kalau hendak memalukan Tok Mat, jangan pula selang sehari. Beliau itu Timbalan Presiden Umno. Tindakan sebegini hanya mendedahkan kelemahan strategi mereka sendiri,” katanya mengulas kontradik pasukan ‘perpaduan’ itu.

Dalam nada sarkastik, beliau mencadangkan agar Pemuda PAN membawa Tok Mat bersama-sama ke lokasi sebenar agar beliau dapat melihat sendiri keadaan yang dihadapi penduduk setempat.

“Lain kali, ajaklah Tok Mat bersama meninjau ladang babi tersebut. Kasihan beliau, tidak dapat mengesan lokasi ladang babi di DUN Ayer Kuning. Saya sendiri pernah menawarkan untuk membawanya, tetapi tawaran itu tidak diendahkan,” ujar beliau.

Nurul Islam turut mencabar Pemuda PAN untuk membuktikan sungai-sungai di kawasan itu tidak tercemar dengan turun mandi beramai-ramai sebagai bukti.

“Saya ingin mencadangkan agar Pemuda PAN Perak mandi beramai-ramai di sungai-sungai sekitar Ayer Kuning bagi membuktikan airnya bersih dan suci. Pilih sahaja Sungai Kuala Gepai, Sungai Batang Padang, atau Sungai Kenjor mana-mana yang mereka sanggup terjun,” tulisnya lagi.

Tegasnya, ladang babi sememangnya wujud berdekatan Kampung Tanjung Keramat dan penduduk telah lama mengadu mengenai bau busuk serta pencemaran yang berlaku.

“Tok Mat mendakwa tiada ladang babi di Kampung Tanjung Keramat. Saya ingin membantu beliau. Ladang babi terdekat hanya mengambil masa tiga minit menaiki kereta dari Masjid As-Salam Kampung Tanjung Keramat.

“Apabila bau sisa kumbahan merebak, seluruh kampung terkesan. Duduk di pekarangan masjid pun sudah boleh menghidu bau tersebut. Jika Tok Mat masih mahu menafikan kewujudan ladang tersebut dan penderitaan rakyat di kawasan ini, saya bersedia.

“Untuk turun bersama beliau. Saya boleh menjadi pemandu pelancong. Mohon Pegawai Khas Tok Mat segera hubungi saya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 19/4/2025

- Advertisement -