
KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Ir Ts Nurul Islam Mohamed Yusoff secara sinis mentertawakan Menteri Dalam Negeri (KDN), atas reaksinya berkaitan isu Perintah Kawalan Perjalanan (TCO) ke atas Menteri Besar Terengganu.
Menurut beliau, TCO berada di bawah urusan Cawangan Khas (SB) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bertanggungjawab kepada Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selaku Menteri berkenaan.
“Pertama dia jawab tiada keperluan untuk ‘pengawasan tambahan’ kerana Dr Samsuri ada diberikan seorang Pegawai Polis. Maksudnya dia nak kata Pegawai Polis boleh lapor segala pergerakan Dr Samsuri kepada pihak tertentulah.
“Okey kalau itu hujah awak, Dr Samsuri menjadi Menteri Besar sejak 2018 lagi. Sejak 2018 jugalah dia diberikan seorang Pegawai Polis. ‘By right’ sejak 2018 jugalah Dr Sam kena ‘tag TCO’.
“Tetapi kenapa dalam Sistem Imigresen Dr Samsuri diletakkan sebagai TCO hanya bermula akhir 2024? Kenapa dari 2018-2023 tiada ‘tag TCO’ pada Dr Samsuri? Lu fikirlah sendiri,” persoalnya terhadap TCO dikenakan kepada Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Memetik reaksi Saifuddin bahawa kenamaan penting (VVIP) lain memahami TCO tersebut, Nurul bertanya Menteri itu sama ada Sultan, Menteri atau Kerabat yang melalui Imigresen juga ditahan seketika seperti Dr Samsuri sebelum diberi pelepasan pihak tertentu.
Nurul Islam turut mempertikai penafian Saifuddin bahawa telefon Dr Samsuri dipintas dengan memberi satu analogi dari tindakan membuat mesej pendua dengan menulis kata kunci sensitif bagi bertemu seseorang di restoran tertentu.
Jelasnya, pancingan disengajakan itu ternyata didengari oleh pihak yang memantau kerana tanpa dimaklumkan kepada sesiapa, tiba-tiba terdapat beberapa anggota SB berpakaian preman turut hadir di restoran sama.
“‘How do I know’ mereka SB? Dah lama kot dalam politik aku boleh bezalah sapa SB sapa tidak. Kantoi bodo je kan. Sudahlah Menteri Dalam Negeri. “You’re simply repeating the very thing you once stood against’. ‘The oppressed, become oppressors’,” katanya.
Nurul Islam turut memberi ulasan terhadap reaksi Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa dirinya juga berada dalam senarai TCO dan ia adalah perkara biasa kepada semua kenamaan untuk ada dalam senarai itu.
“Okey soalan kepada PMX, masa lalu kaunter Imigresen, PMX ada kena tahan, disuruh ketepi, kemudian Pegawai Imigresen tu ‘call’ pejabat TCO untuk dapat ‘clearance’. Ada tak? Kalau takde maksudnya tak sama.
“Dah alang-alang PMX respon isu ni, boleh jelaskan tak kenapa MB Terengganu dilayan sedemikian rupa? Sebab Menteri Dalam Negeri gagal beri jawapan yang boleh diterima rakyat.
“Ingat dia (Dr Samsuri) adalah seorang ADUN, Ahli Parlimen dan Ketua sebuah negeri. Bukan penjenayah atau pesalah yang wajar dikawal pergerakan,” peringat beliau yang juga Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat. – HARAKAHDAILY 12/4/2025











