
TAPAH: Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning adalah medan penting untuk menunjukkan isyarat awal perubahan politik negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Selinsing, Sallehuddin Abdullah menyatakan pandangan demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui semasa penamaan calon di pekarangan Majlis Daerah Tapah, di sini hari ini.
Beliau berkata, kehadiran ramai penyokong PERIKATAN NASIONAL (PN) pada hari penamaan calon hari ini menjadi petunjuk positif terhadap sokongan rakyat kepada gabungan itu.
“Alhamdulillah, hari ini satu petunjuk yang sangat baik kepada PERIKATAN NASIONAL dengan kehadiran begitu ramai penyokong. Keputusan PRK ini amat penting kerana ia bakal menjadi satu referendum rakyat,” katanya
Sallehuddin berkata, kemenangan mengatasi penyandang iaitu Barisan Nasional (BN) dalam PRK ini bakal menggambarkan kecenderungan rakyat secara menyeluruh di seluruh negara.
Beliau optimis bahawa kemenangan berpihak kepada PN akan membuktikan potensi gabungan itu untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada PRU akan datang.
“Kalau berlaku kemenangan kepada PN, maknanya kita boleh menguasai Malaysia pada PRU16, Insya-Allah,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pengundi di kawasan Ayer Kuning agar turun menunaikan tanggungjawab dan memberi sokongan kepada calon PN, Ustaz Abdul Muhaimin Malek.
“Kita seru kepada semua pengundi supaya menunjukkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kita mampu merubah landskap politik negara ke arah yang lebih matang dan sejahtera, berbanding keadaan ekonomi dan sosial yang semakin meruncing hari ini,” tegasnya.
Sallehuddin turut menyampaikan pantun sindiran politik sebagai peringatan kepada para pengundi, ‘Anak cacing dalam kopi, Pangkah dacing dapat DAP’.
“Sebab itu kita jangan pangkah dacing, nanti dapat DAP,” katanya sambil menggesa agar undi diberikan kepada PN.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti pada 26 April ini.
Selain Muhaimin, ia membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha Umno Bahagian Tapah, 54 dan Timbalan Setiausaha Agung PSM, Bawani KS, 40.
PRK kali ini menyaksikan tiada calon Bebas bertanding untuk merebut kerusi disandang Allahyarham Ishsam Shahruddin, 58, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu. – HARAKAHDAILY 12/4/2025











