
ARAU: Setiap kali tiba musim harumanis, Warung Harumanis Hutan Temin di Arau, Perlis menjadi lokasi tumpuan pengunjung dari seluruh negara yang ingin menikmati keenakan buah ’emas’ Perlis terus dari kebun.
Suasana santai yang ditawarkan di dalam kawasan kebun menjadikan ia destinasi agro-pelancongan yang unik dan mesra keluarga.
Warung ini diusahakan oleh Abdul Hanan Saad, 41, yang hanya membuka operasinya semasa musim harumanis sahaja, iaitu sekitar bulan Mac hingga Jun.
Tahun ini menandakan musim ketiga beliau menjalankan operasi di kebun seluas 0.5 hektar yang menempatkan kira-kira 80 pokok harumanis.


Daya tarikan: Dari pokok ke pinggan
Menariknya, lebih 50 kilogram buah harumanis digunakan setiap hari untuk menghasilkan pelbagai menu kreatif berasaskan buah istimewa ini.
Antara menu paling mendapat sambutan ialah ketupat harumanis, cendol harumanis, pulut harumanis, jus harumanis dan pelbagai pencuci mulut istimewa lain, dengan harga antara RM3 hingga RM13.
“Pengunjung akan menikmati suasana di dalam kebun sambil menikmati harumanis segar dari kebun berkenaan. Kita juga menjual harumanis pada harga RM35 sekilogram dan sambutan sangat baik,” kata Abdul Hanan.
Tambahnya, sempena Hari Raya, beliau memperkenalkan menu istimewa iaitu ketupat dimakan bersama harumanis gabungan luar biasa yang menjadi antara pilihan utama pelanggan.
Menu terbaru untuk tahun ini roti bakar harumanis dan roti telur gedik harumanis.


Fasiliti lengkap untuk pengalaman mesra pelawat
Warung Harumanis Hutan Temin kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti pondok wakaf untuk bersantai, tempat bergambar serta deretan warung makanan yang menjual hidangan popular tempatan seperti laksa, laksam, mee goreng, kuetiau goreng dan ais kacang.
“Kita bukan sekadar mahu orang datang beli buah, tetapi rasa sendiri suasana kampung, duduk bawah pokok, makan harumanis sambil nikmati suasana tenang,” ujar beliau.
Warung ini beroperasi setiap hari dari jam 7:30 pagi hingga 5 petang sepanjang musim harumanis.


Dikunjungi pelancong dari seluruh negara
Tinjauan Harakahdaily mendapati warung ini dikunjungi pengunjung dari Johor, Perak, Kedah dan Sarawak.
Malah, untuk hujung minggu ini, sebuah bas pelawat dari Terengganu telah membuat tempahan khas untuk berkunjung ke kebun tersebut.
“Sejak awal pagi orang ramai sudah datang ke warung ini termasuk pengunjung dari luar negeri yang ingin merasai sendiri nikmat harumanis yang hanya setahun sekali itu,” katanya lagi.

Gabungan agro, tradisi dan inovasi
Warung Harumanis Hutan Temin kini menjadi contoh bagaimana pertanian boleh dijadikan asas kepada pembangunan pelancongan yang mampan.
Dengan kombinasi hasil segar, suasana semula jadi dan kreativiti menu yang memikat, kebun ini bukan sekadar menjual buah tetapi juga mencipta pengalaman. – HARAKAHDAILY 12/4/2025












