
DI SEBALIK perwatakan tenang dan bersahaja Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim, tersembunyi sebuah kisah keluarga yang unik dan luar biasa, dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh dua ibu.
Dilahirkan pada 12 Februari 1986, Mohd Ridzuan atau mesra dikenali sebagai Dek Wan dalam kalangan keluarga, merupakan anak kandung kepada Hambiah Man, 70, namun sejak kecil diasuh dan dijaga oleh ibu angkatnya (mama), Latifah Mat, 63, yang juga biras kepada ibunya.
Hubungan rapat antara kedua-dua wanita itu membuka ruang buat Latifah, yang tidak mempunyai zuriat, untuk menyayangi dan mendidik Dek Wan seolah-olah anak sendiri, dengan restu penuh daripada ibu kandungnya.
“Rumah mak dan mama dekat belakang rumah saja. Saya membesar dalam dua rumah, dua dapur, dua peluk cium, tapi satu keluarga yang saling menyayangi,” ujar beliau mengenang zaman kecilnya.
Kisah kekeluargaan luar biasa ini menjadi asas kepada pembentukan jati diri beliau yang kini memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri Perlis, selain aktif sebagai pemimpin PAS sejak menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ujar beliau, kasih sayang tanpa sempadan yang diterima daripada mak dan mama bukan sahaja menjadikan setiap kali Syawal lebih bermakna, bahkan memberi kelebihan kerana tidak perlu menghadapi dilema balik kampung seperti orang lain.
“Dua-dua kampung ada di Guar Sanji, satu lorong saja. Saya boleh raya dengan mak dan mama dalam masa yang sama. Itulah nikmat yang ramai orang tak ada,” katanya.
Sebagai satu-satunya anak kepada ibu angkatnya, beliau juga mewarisi minat memasak dan mahir menyediakan juadah tradisional, termasuk membalut ketupat utara dan menyediakan putu kacang antara kuih wajib keluarga mereka.
Bagi beliau, Aidilfitri adalah waktu paling istimewa untuk menghargai pengorbanan dua wanita penting dalam hidupnya yang menjadi punca kekuatan dan sumber kasih sayang tidak ternilai. – HARAKAHDAILY 8/4/2025











